Seawal Manakah Anak Boleh Mula Berpuasa?


Tahun ini Imad berumur 6 tahun.

Seperti abang dan kakaknya, kami bercita-cita untuk mengajar Imad berpuasa pada usia 6 tahun.

“Imad, tahun ini Imad nak puasa tak? Imad puasa ye nanti. Nanti boleh buka sama-sama”, kami mengindoktrinkan idea berpuasa sejak beberapa bulan yang lalu.

Sekitar bulan Syaaban kami mula mengingatkan Imad tentang Ramadhan. Sekolah tadika Brainy Bunch Islamic Montessori juga bercerita kepada Imad dan kawan-kawannya tentang amalan berpuasa di bulan Ramadhan.

Imad nampaknya begitu teruja untuk berpuasa. Tidak sedikit pun nampak kerisauan di mukanya. Ini adalah kerana kami tidak pernah menakut-nakutkan Imad serta adik beradiknya tentang ‘kesan sampingan’ berpuasa.

Mengapa 6 Tahun?

Seperti Yop dan Naurah, kami menunggu Imad mencecah 6 tahun barulah dia berpuasa. Ini adalah kerana kami yakin pada umur 6 tahun, Imad sudah pun mumaiyiz yakni tahu membezakan antara baik dan yang buruk serta bijak memberitahu ibu bapanya apabila beliau sakit atau terlalu lemah. Dengan kata lain juga, anak-anak tidak seharusnya berpuasa selagi mana tidak mencapai usia yang boleh bercakap dengan betul (verbal age).

Pada umur pra sekolah ini, Imad tidak lagi bergantung sepenuhnya kepala susu botol malah sudah pun mula memakan makanan yang seimbang.

Di tadika juga, Imad sudah pun diajar tentang keistimewaan dan cara amalan berpuasa. Maka, sedikit sebanyak persediaan beliau dapat dipengaruhi oleh guru dan rakan-rakan sebaya.

Saya tidak berapa pasti dengan idea berpuasa pada usia sebelum pra sekolah. Ini adalah kerana sebab-sebab di atas. Kadang-kadang, ibu bapa terlalu ghairah untuk menyuruh anak-anak berpuasa sehinggakan mereka lupa anak-anak belum pun lagi capai usia wajib berpuasa.

Sebagai ibu bapa, kita mesti tahu kadar dan faktor kekuatan serta kekurangan (limitations) anak-anak iaitu sama ada mereka benar-benar mampu berpuasa. Jika mereka tidak mampu secara mental malah lebih-lebih lagi secara fizikal, puasa mungkin boleh memudharatkan mereka.

1 Ramadhan 1433

Seperti biasa, berpuasa dimulakan dengan amalan bersahur. Yop, Naurah dan Imad, kami kejutkan pada pukul 5 pagi.

Sehari sebelum itu kami sudah pun bertanyakan kepada mereka apa yang mereka mahu makan ketika sahur. Maka, semangkuk Coco Crunch untuk seorang disediakan. Kami tidak memaksa mereka memakan karbohidrat yang lain kerana memahami betapa tidak biasanya mereka untuk memakan ‘berat’ sewaktu sahur. Sekadar minum air kosong yang lebih sudah memadai.

Alhamdulillah 1 Ramadhan diraikan di kampung Pasir Puteh, Ipoh. Risau juga sekiranya mereka dahaga di dalam perjalanan. Sekali sekala, kami bertanya kepada anak-anak akan keadaan mereka. Kami juga menyuruh mereka tidur semasa dalam perjalanan sekiranya berasa penat. Mungkin kerana terlalu gembira pulang ke kampung menyebabkan mereka lupa akan keletihan berpuasa.

Iftar di rumah Opah sangat meriah.

Sepupu-sepupu dari Kampung Manjoi datang menziarahi rumah opah. Anak-anak sungguh gembira. Tambahan pula pelbagai makanan disediakan bagi menjamu 16 orang sekeluarga. Imad, Naurah dan Yop berjaya menghabiskan puasa 1 Ramadhan. Kami memuji anak-anak di atas kejayaan mereka terutama Imad yang kali pertama berpuasa.

Kelonggaran Berbuka Versus Kelonggaran Tidak Berpuasa

Di antara tip kejayaan anak-anak berpuasa ialah kami tidak pernah menghadkan tempoh mereka berpuasa sebelum mula berpuasa. Kami percaya anak-anak harus digalakkan berpuasa dan berbuka hanya apabila mereka merasa tidak mampu atau lemah.

Menggunakan hukum fekah orang sakit, anak-anak digalakkan cuba berpuasa terlebih dahulu lalu berbuka sekira tidak mampu sebelum belum apa-apa lagi sudah menyerah kalah berniat untuk tidak berpuasa.

Dari Abdullah Bin ‘Umar (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):

“Sesungguhnya Allah menyukai rukhsahNya dilaksanakan sebagaimana Dia membenci maksiatNya dilakukan”. [HR Ahmad – sahih menurut Ibnu Hibban dan Ibnu Hizaimah]

Ini sama seperti aplikasi solat jamak di mana Allah memberi kelonggaran (rukhsah) menjamakkan solat bagi mengelakkan daripada meninggalkan solat.

Maka, keutamaannya ialah berpuasa dan kemudiannya diberi kelonggaran (rukhsah) berbuka sekira tidak mampu.

Menu Makanan

Sahur yang berikutnya, anak-anak terus bersama menu Coco Crunch. Hanya pada sahur ke empat, kami memujuk mereka untuk menjamah nasi dan karbohidrat yang lain. Alhamdulillah mereka mula menjamah selain bijirin apabila semakin biasa dengan amalan bangun sahur.

Pada awalnya saya juga meminta suami membelikan multi vitamin untuk anak-anak. Namun, apabila melihat selera anak-anak sangat baik, kami terlupa langsung untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, saya tetap mengesyorkan pengambilan multi vitamin untuk memberi tenaga terutama buat anak-anak yang kurang berselera untuk makan.

Periksa Kadar Hidrasi

Dalam tempoh anak-anak kami berpuasa terutamanya Imad, saya dan suami sentiasa memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi iaitu kekeringan air di dalam badan. Saya akan memastikan tiada tahap kekeringan lidah yang serius, cengkung pada bawah mata atau kadar nadi yang lemah.

Anak yang sihat dan cukup hidrasi ialah anak yang kekal bertenaga dan aktif.

Mata cengkung

Namun sekiranya mereka terlalu aktif, kami akan pastikan mereka tidur sekejap di waktu siang selepas waktu sekolah. Kawalan kepada aktiviti mereka perlu bagi mengurangkan air hilang daripada badan melalui pernafasan dan peluh.

Fleksibel Dan Tidak Rigid

Pada tengahari Ramadhan ke 10, Yop didapati demam panas. Kami membenarkan Yop berbuka. Namun, Yop memilih hanya untuk meminum air kosong dan sebiji Panadol lantas meneruskan ‘puasa’nya tanpa mengambil sebarang makanan sehingga masuk waktu maghrib. Itu pilihan beliau. Namun dari masa ke semasa, saya terus memantau beliau.

Imad juga mengalami beberapa insiden ‘accident‘. Imad terminum air milo dan air oren pada Ramadhan ke dua dan ke tiga. Kami hanya menyuruh Imad menyambung puasa kerana ianya hanya beliau terlupa, tanpa dikenakan sebarang hukuman mahupun teguran.

Reward Dan Galakan

Selain berpuasa dan bersahur bersama-sama, kami juga menggalakkan anak-anak solat berjemaah. Pujian dan ciuman diberi setiap kali mereka melakukan ibadah berjemaah bersama.

Tidak salah jika ingin memberikan ganjaran berupa wang di hujung Ramadhan, namun saya berpendapat sekiranya setinggi itu nilai berpuasa di bulan Ramadhan maka mungkin tinggi lagi harga menunaikan solat lima waktu.

Adakah kita memberikan ganjaran atau pujian yang sama apabila anak-anak berjaya solat? Kesannya, mungkin anak-anak seronok untuk berpuasa tetapi tidak seronok apabila ‘dipaksa’ solat.

Setakat ini kami cuma berjaya membawa anak-anak beberapa kali solat sunat terawikh di masjid. Ini adalah kerana anak-anak kami cepat mengantuk sekitar pada pukul 9 malam, maka mereka sendiri meminta izin untuk berehat di rumah. Kerana mereka masih muda, maka kami memberikan sedikit kelonggaran kepada mereka. Memadailah mereka dapat menunaikan solat wajib 5 waktu. Mungkin di tahun-tahun hadapan mereka lebih bersedia.

InshaAllah, Ramadhan 1433H masih berbaki lebih separuh lagi. Maka, sama-samalah kita memeriah dan meraikannya dengan seisi keluarga khususnya buat anak-anak.

Ramadhan bukanlah sekadar lampu pelita, bunga api dan lampu warna warni untuk anak-anak kita. Ramadhan datang untuk semua dan dengan tujuan yang lebih besar daripada semua itu.

Kesimpulan:

1. Analisa usia anak yang mampu untuk berpuasa.

2. ‘Semangat’ ibu bapa versus kekurangan (limitation) anak-anak.

3. Persediaan dan pendidikan awal yang beterusan lagi suportif.

4. Apabila sudah bersedia, cuba untuk tidak hadkan tempoh berpuasa.

5. Makanan seimbang dan multi vitamin.

6. Rehat yang secukupnya.

7. Periksa kadar hidrasi.

6. Fleksibel.

7. Galakan dan ganjaran.

8. Jangan lupa amalan-amalan wajib dan sunat yang lain.

Akhir kata, salam Ramadhan daripada saya seisi keluarga.

UMMUSAIF.COM
43000, Kajang.

9 thoughts on “Seawal Manakah Anak Boleh Mula Berpuasa?

  1. Kebolehan anak-anak berbeza-beza….anak-anak saya sebelum ni mula berpuasa sejak umur 5 thun lagi…walau ada tinggal 5-6 hari….tu pun sebab demam….tp anak-anak sya yang no 3 dan 4 mula berpuasa ketika berumur 6 tahun ….tu pun susah nak bangun sahur tapi bila kita sediakan menu yg diaorang suka jadi dia berselera untuk bersahur….pendek kata kerenah anak-anak kita kena prihatin di samping memberitahu kelebihan-kelebihan berpuasa….insyaAllah ibubapa akan berjaya menghadapinya…

  2. Ramai yang teruja nak anak berpuasa tapi ‘terlupa’ untuk mendidik sama menyeimbangkan dengan solat padahal itu yang lebih utama.

    Teringat ibu mesti goreng ayam dan nugget masa sahur..kasi mata celik katanya..

  3. setuju dgn norinaomar..=) sebaik-baiknya mengajar dan menanam sikap suka solat kepada anak2 seawal umur begitu lbh elok.. alhamdulillah anak saya berumur 4thn bila digerak solat subuh, tdk byk kerenah. terus berwuduk sama2 dan solat bersama2. Tp kalau dpt seimbangkan puasa dan solat utk anak2 lagi best kan..

    • Sudah semestinya puan. Kerana itulah solat 5 waktu merupakan rukun Islam yang ke dua manakala berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun yang ke tiga.🙂

      • Saya setuju..memandangkan ini bulan puasa…fokus adalah mengenai bagaimana mahu mengajar anak berpuasa dalam bulan ini…solat itu sudah seharusnya kita ajar dan pantau setiap hari 🙂

  4. Seronok bila anak2 dah boleh puasa. Umar dan Ammar belum lagi kot..Seronok baca tip2 ummusaif ni..Pendekatan wardina juga menarik..bila nak ajar anak kecil puasa, sahur anak2 adalah pada waktu bfast mereka…ajar dan galakkan anak2 tanpa paksaan supaya anak2 rasa seronok puasa..

    Imad umur 6 tahun dah berltih puasa..:) saya dulu darjah 5 baru start puasa..:) darjah 4 mak masih bekalkan kek coklat dan air milo ke sekolah..:)

  5. assalamualaikum….anak sy baru berusia 4 tahun, dia tahu apa erti hari raya dan dia tahu dia tak puasa….bagaimana utk menerangkan erti puasa sebenar? lagi satu, sekarang saya sedang mengajar anak mengaji dan solat….bagaimana caranya utk ajar anak suka pada solat….sy dah belikan telekung dan ajak baik2 solat tapi jawapannya tak nak…..bagaimana ye?

  6. Saya setuju seimbangkan Solat ngan puasa…. tetapi solat perlu diutamakan, anak saya tidak mahu solat sebab letih puasa… jadi saya cadangkan dia supaya berbuka untuk memberikan tenaga dan boleh menunaikan solat. Tahu pula dia sayangkan puasa tu lagi… akhirnya solat juga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s