Ilmu Itu Pembawa Rahmat


Minggu-minggu di sekitar April dan Mei 2011 itu saya lalui dengan hambar.

Untuk memujuk hati yang lara, kami membawa diri ke utara Semenanjung Malaysia.

Percutian yang tidak dirancang itu sedikit sebanyak menghilangkan duka yang mencengkam.

Tanpa berfikir panjang, Batu Feringgi menjadi lokasi penginapan. Syukur bibik masih di Indonesia ketika itu, maka kos hotel berkurang separuh daripada biasa.

Alhamdulillah cuti tanpa rekod yang diberikan sangat membantu. Satu perkara yang saya amat bersyukur tentang Jabatan saya ialah sikap perihatin serta sifat empati Ketua Jabatan dan kakitangan lain apabila menghadapi situasi seumpama ini.

Pulang dari Pulau Pinang, saya terus membulatkan hati untuk memikul semua tenaga dan upaya supaya terus berjalan dengan tenang dan tabah di Jabatan.

Mampukah saya…?

Saya Sudah Pasrah… 

Pada Isnin 16 Mei 2011, saya dipanggil oleh Ketua Jabatan, Prof Dr Ismail Mohd Saiboon ke pejabat beliau.

Kami berbual lama tentang keputusan peperiksaan baru-baru ini. Beliau menasihatkan saya agar membuat rayuan. Beliau menerangkan betapa kegagalan saya itu terlalu tipis maka pengiraan semula mungkin dapat membantu.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran Ketua Jabatan saya itu. Tetapi beliau nampak begitu bersungguh-sungguh.

Setakat manakah tipisnya keputusan tempohari?

Wajarkah saya mengambil nasihatnya itu?

Perlukah saya melalui semua itu semula? Sanggupkah saya?

Sekiranya saya bersetuju untuk membuat rayuan, ini bermaksud saya harus melalui satu lagi penantian. Dan penantian sudah pastinya suatu penyiksaan.

Hati kecil saya ingin meneruskan kehidupan, tidak mahu bermimpi lagi.

Namun, ada sebahagian diri saya yang ingin mencuba, “Apa salahnya?”

Ya, apa salahnya mencuba hingga ke titisan akhir. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

Sampai di rumah, saya berbincang dengan suami. Suami juga bersetuju untuk meneruskan dengan proses rayuan.

Maka, keesokkan harinya saya menghantar surat rayuan rasmi tersebut kepada Dekan Fakulti Perubatan PPUKM dengan perasaan yang bercampur baur.

Yang pastinya saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada rayuan tersebut. Bagi saya, ianya sekadar usaha. Usaha sebagai tanda tidak putus asa. Selebihnya Allah yang berhak menentukan segalanya.

Bahkan ianya masih sesuatu yang realistik.

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf:87)

Optimis Versus Pesimis

Beberapa rakan sekerja datang menasihati.

Mereka khuatir usaha saya itu hanya akan menyebabkan saya ‘gagal’ untuk kali ke tiga. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Ada ketikanya saya merasakan pandangan mereka berbaur negatif seolah-olah mereka tidak yakin dengan kejayaan saya. Namun, saya faham niat murni mereka. Mereka yang sentiasa berada di belakang saya selama ini, masakan pula ingin menikam saya dari belakang.

Mereka sekadar memberi nasihat.

Tidak mengapa, itulah tugas mereka sebagai sahabat.

Sekurang-kurangnya mereka menyampaikan kerisauan mereka dan bukannnya hanya membiarkan saya melakukan ‘kesilapan’. Mungkin ada titik blindspot saya yang mereka nampak.

Berbekalkan semua nasihat dan pandangan, akhirnya saya tekad untuk menunggu surat jawapan dan hasil rayuan tersebut.

Bak kata John C. Maxwell, “Shared thinking brings more maturity than solo thinking.”

Penantian Itu Suatu Ujian

Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan.

Debarannya tidak sesaat.

Yang pastinya tarikh graduasi kian menjelma. Tarikh keramat itu bakal merupakan tarikh mati bagi rayuan saya. Ianya akan berlangsung pada pertengahan bulan September, namun tiada sebarang berita yang saya dengar. Para senior dan pensyarah juga tidak dapat memberikan sebarang gambaran.

Di kalangan pensyarah, ramai yang menasihatkan agar saya terus mempersiapkan diri untuk peperiksaan ulangan yang akan berlangsung pada hujung Oktober.

Saya akur dengan realiti itu. Dengan berat hati, saya tekun belajar walaupun hati sudah separuh jemu mengadap bahan bacaan.

Saya teringat kata-kata Dr Shahridan, pensyarah Anaestesiologi yang serba boleh di Jabatan kami, “Muna, you have to read more and be active during CMEs. That is the way to understand and remember your stuff.”

Maka, sejak itu saya mula mengaktifkan diri semasa di perjumpaan Continuous Medical Education (CME) dan ward round. Saya memberanikan diri untuk lebih giat mengajar dan menyampaikan kepada pelajar-pelajar lain.

Tidak takut atau malu sekiranya mereka mengatakan saya tidak pandai kerana mengambil peperiksaan berkali-kali. Semua perasaan negatif  saya campak jauh-jauh.

Saya yakin, yang pastinya saya mempunyai banyak ilmu yang ingin dikongsikan.

Masakan tidak, nota saya berkajang-kajang. Mind mappings saya pelbagai. Tidak kurang pula dengan mnemonics dan short notes yang banyak. Dan boleh dikatakan hampir semua topik telah pun saya baca. Buku saya bukan sahaja hampir lunyai tetapi sudah digaris dan dihighlight berkali-kali.

Masalah saya sebelum ini ialah mungkin saya tidak pandai menerang atau menyampaikannya.

Di antara faktor penyebabnya ialah kurangnya first hand reading or understanding.

First hand reading or understanding ialah memahami isi pelajaran melalui pembacaan kita sendiri dan bukannya melalui penerangan atau bacaan orang lain. Apabila kita bergantung pada penerangan orang lain, maka pemahaman kita tidak mantap dan senang digoyahkan dengan bentuk soalan yang berbeza-beza.

Dan ianya sangat penting untuk menjawab soalan MCQ yang menjadi tunjang kelemahan saya selama ini.

Keyakinan saya di dalam mengajar kepada pelajar-pelajar lain bukanlah kerana saya terlalu over confident dengan keputusan rayuan. Tetapi ianya kerana saya yakin, itulah cara untuk saya terus belajar, mengalahkan sifat putus asa serta mengasah ilmu yang masih ada di dalam memori dan akal.

Dan kerana ilmu itu sentiasa bergandingan dengan Rahmat Allah SWT, maka kekuatan yang tidak disangka-sangka itu terus menyokong saya.

“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.” (al Kahfi:65)

Di dalam masa yang sama, saya masih meneruskan kehidupan seperti biasa dan juga luar biasa.

Antara pengalaman luar biasa yang saya tidak lupakan sewaktu penantian ini ialah membentangkan kajian disertasi di peringkat antarabangsa di Asian Conference for Emergency Medicine di Bangkok. Kegagalan saya pada bulan April tersebut sama sekali tidak membuatkan saya malu untuk tampil di hadapan Pakar-pakar Kecemasan di seluruh dunia.

Hari Yang Ditunggu-Tunggu

Kira-kira dua minggu selepas hari raya Aidil fitri, akhirnya saya mendapat keputusan yang ditunggu-tunggu.

Walaupun berita khabar angin sudah pun sampai ke telinga, namun ianya masih belum cukup kuat untuk menyakinkan saya.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Jabatan saya selepas beliau mendapat pengesahan daripada pihak Dekan fakulti.

Adakah usaha saya berbaloi?

Adakah penantian saya membuahkan hasilnya?

Rayuan saya diterima dan pengiraan semula kertas teori telah dilakukan oleh pemeriksa luar.

Dan hasilnya, dengan hanya penambahan markah yang sangat sedikit lagi tipis telah mengizinkan saya lulus bahagian teori dan seterusnya lulus keseluruhan peperiksaan!

Syukur Alhamdulillah, saya telah berjaya!

Subhanallah, Alhamdulillah, Lailaha illallah. Allahu akbar!

Air mata syahdu benar-benar membasahi pipi.

Akhirnya!

Terima kasih Ya Allah. Terima kasih!

Tidak sabar rasanya untuk menyampaikan berita itu kepada ‘tulang belakang’ saya iaitu suami tercinta.

Sesungguhnya inilah berita yang paling gembira dan bahagia buat kami sekeluarga pada tahun 2011 ini.

Tiada lagi pengabaian suami dan anak-anak.

Tiada lagi homework anak-anak yang tidak dilihat.

Tiada lagi kesedihan…

Dan pada Sabtu tanggal 24 September 2011, saya dengan rasminya menerima ijazah Sarjana Perubatan Kecemasan atau Masters in Emergency Medicine (MEmMed) daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz selaku Canselor UKM.

Alhamdulillah…!

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”
(Ash-Sharh:4-8)

UMMUSAIF.COM
43000, Kajang

15 thoughts on “Ilmu Itu Pembawa Rahmat

  1. Mabruk ummu saif!Tahniah.Moga2 kami juga berjaya mnjadi seorang doktor yang tabah seperti ummu saif.InsyaAllah..

  2. Syukur alhamduliLLah. Peri betapa pentingnya bertawakkal serta redha atas ketentuanNYA. Tahniah…

  3. Mabrook, Dr. Muna. Pengalaman kehidupan yang boleh direflekskan utk diri saya sendiri. Membaca pengalaman orang lain utk mengambil yang tersirat daripada yang tersurat. Jzkillah !😀

  4. menitis air mata saya baca kisah Dr Muna ni. Mereka yang dikasihi Allah memang takkan lepas dari ujian, tapi ganjarannya sangat manis. Moga Dr Muna menjadi Pakar yang mantap dalam semua aspek (berkat segala pengalaman yang dah ditempuhi) namun tetap humble🙂

  5. ingin sekali saya mendapatkan feedback dari seseorang tentang peranan seorang ibu di masa kini yang cukup mencabar. di mana platform yang bersesuaian jika saya ingin berbincang dengan dr muna?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s