Kemuncak Debaran


Dub dab dub dab…

Dub dab dub dab…

Ya Allah takutnya aku…

Luluskah?

Gagalkah?

Aku tidak pasti.. Yang pastinya aku perlu lulus. Mesti lulus!

Itu perjanjianku dan bakal suami dengan ayahanda.

Memikirkan besarnya kesan keputusan itu, aku tidak sanggup untuk mendepaninya.

Ku ‘poskan’ adik-adik serumahku untuk melihat keputusan peperiksaan di bangunan Clinical Science Institute (CSI).

Mentari petang menyinsing.

Hari hampir Maghrib.

Keputusan masih belum keluar.

Ya Allah kenapa begitu lewat?

Didi, Maya , Mar dan Wan, adik-adikku masih belum pulang. Mereka masih setia menunggu di CSI.

Aku terus berdoa sambil bermundar mandir di dalam bilikku. Entah sudah berapa kali aku ‘ tawaf’ di dalam bilik.  Sekejap solat, sekejap mengaji, sekejap berzikir.

Pernah Gagal

Aku pernah gagal sekali di dalam peperiksaan akhir tahun dua subjek Biochemistry. Aku sangat serik. Terpaksa balik awal ke Ireland daripada cuti penggal yang panjang semata-mata untuk mengambil semula kertas tersebut. Sepatutnya bercuti 3 bulan tetapi akhirnya hanya sebulan sahaja berada di Malaysia.

Tetapi kali ini ia bukanlah kerana tempoh cuti yang pendek tetapi risau akan tempoh pertunangan yang silap hari bulan boleh dipanjangkan..

Sesekali aku menatap handfone Erickson ku yang selalu meragam itu.

Ah, nanti…

Belum masanya lagi untuk menghantar sms kepada tunangku.

Alhamdulillah…dalam gelisahku itu, aku tetap tenang dan lega kerana tunangku sudah pun berjaya graduate. Akhirnya selepas 3 tahun tertangguh, tunangku graduate. Mujahadah yang kami kira hampir menemui jalan buntu.

Kecekalannya dan kesabarannya digandingkan dengan ‘kedegilanku’ adalah kata kunci untuk meneruskan pertunangan kami.

“Ringgggg… ringggg… ringggg…”, tiba-tiba Ericksonku berbunyi.

“Kak Muna, mari la ke CSI. Result dah keluar dah ni” kata Didi sambil disahut oleh Mar, Wan dan Maya di belakang suaranya.

“Tak naklah Didi, akak takut la” aku menjawab.

“Ok la akak, akak datang je…” Didi cuba meyakinkan aku.

“Didi dah tengok result akak ke?” aku bertanya lagi.

“Ok Kak Muna. Kak Muna datang la..” Didi terus cuba membina kepercayaanku.

Daripada suara Didi itu, aku rasa ada tanda-tanda positif aku kan lulus periksa.

Usai solat Maghrib, aku pun bergerak ke CSI.

Angin summer di Galway tetap sejuk di malam harinya. Angin Lautan Atlantik itu tidak pernah berubah arahnya. Ku rapatkan tangan ku ke dalam jaket pink sambil aku menyusuri jalan pintas di Newcastle Road…

Alhamdulillah Ya Allah… Aku lulus!

SubhanaAllah, Maha Suci Engkau Ya Allah…

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah…

Adik-adik rumah ku terus memelukku.

“Tahniah Kak Muna!” kata Didi, Maya, Wan dan Mar.

Allah… ingin sahaja aku hubungi tunangku terus di Malaysia di saat itu. Aku pasti dia sangat ternanti-nanti.

Namun aku terus menangis apabila dipeluk adik-adik ku. Adik-adik yang sering memberikan aku motivasi di sepanjang beberapa bulan yang lepas.

Syukur Yang Bertambah-Tambah

Memori itu masih membuatkan aku tersenyum mengenangkan syukurnya aku apabila lulus di dalam Final Medical Examination.

Aku juga bersyukur kerana selamat pulang ke Malaysia untuk menghadiri acara paling penting dalam hidupku.

Aku bersyukur Consultant ku, Mr Courtney tidak menyoal berlebih-lebihan semasa meluluskan cuti rehat ku.

Cuti seorang Intern sangatlah terhad. Lebih-lebih lagi pulak kami terpaksa membahagikan sama rata sesama dua orang rakan sekerja iaitu Amori dan Javed. Tanpa kehadiran ku, pastinya mereka terpaksa bekerja 2 kali ganda penatnya dengan team Mr Courtney dan Mr Quill, 2 pakar bedah Vascular di Hospital Universiti Galway.

Cuti ku hanya lah selama empat belas hari. Aku bakal sampai di Malaysia lebih kurang 4 hari sebelum majlis akad nikah ku.

Sudah ku kira, aku ada masa 4 hari sebelum bernikah dan 4 hari sebelum berangkat pulang ke Ireland.

Alhamdulillah, cantik aturan Nya.

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengikari (nikmat Ku), maka Sesungguhnya azab Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7)

Persediaan

Penat oncall sebelum berangkat ke Malaysia pun masih belum hilang. Ditambah pula penat perjalanan menaiki kapal terbang MAS selama 14 jam.

Jet lag…

Namun, persediaan besar mesti diteruskan.

Sesampai di Malaysia, antara perkara pertama yang mesti aku lakukan ialah memasukkan duit ke akaun tunangku.

Duit overdraft yang aku pinjam daripada bank AIB adalah khusus untuk bakal suami. Aku yakin aku mampu membayar balik overdraft itu apabila gaji bulan depan masuk. Overdraft bernilai 1000 Euro itu pasti agak besar nilainya apabila ditukar ke ringgit nanti. Begitu harapan positif ku pepada pertukaran mata wang asing.

Kemudian, aku mesti mencuba baju perkahwinan ku yang ditempah oleh kakak. Aku tidak pasti bagaimanakah rupanya baju yang aku emelkan design dan ukurannya kepada Kak Yang. Harapnya tak kecil atau pun besar.

Pendek!

Baju kebaya labuhku pendek dan bukannya labuh!

Sedih…

Aku inginkan baju kebaya longgar yang labuh. Supaya aku mudah menunaikan solat sunat akad bersama suamiku nanti.

Hmm…. asalkan boleh dipakai dengan longgar, aku memujuk hati.

Aku tidak banyak songel dengan persediaan yang dilakukan oleh ahli keluargaku. Semuanya aku ‘yes’ kan.

“Muna ikut sahaja mana-mana yang elok…”, kataku pada mereka.

Akhirnya… 

Alhamdulillah, hari yang dinanti-nantikan telah tiba.

14 september 2001.

Bakal suamiku berbaju Melayu putih, kopiah putih serta bersampin songket ungu tiba di perkarangan rumah ku selepas Isya’.

Sungguh kacak…

Aku pula masih sibuk diadunkan oleh mak andam. Kerana persediaan persalinanku disiapkan oleh kakak dan dengan masa yang singkat, maka banyak yang tak kena tentang gaya memakai baju, tudung dan sebagainya.

Tiba-tiba..

“Alhamdulillah Muna, Muna dah jadi seorang isteri”, kata Yong, kakak ipar sulungku sambil memelukku.

Ya Allah… Alhamdulillah…

Kelam kabut bersiap menyebabkan aku terlepas peluang mendengar lafaz akad suamiku.

Ada sedikit kesedihan di situ…

Namun begitu, aku tetap gembira dan sangat bersukur kerana kini aku telah menjadi isteri yang sah kepada insan yang paling ku cintai iaitu Hasrizal.

Usai akad, suamiku naik ke bilik pengantin untuk solat sunat akad.

Buat pertama kalinya aku solat berdua bersama suami.

Aku tenang diimamkan olehnya.

Aku tenang dipimpin olehnya.

Segala masalahku hilang.

Segala kelam kabutku hilang.

Segala keserabutanku hilang.

Kini aku yakin, kami pasti kan berjaya menempuhi segalanya.

Tiada lagi kerisauan.

Galway,

kami berdua pastikan kembali lagi…

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, Tuhan kami ialah Allah, ” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, “Jangan lah kamu takut dan janganlah merasa sedih, dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.” (Fusilat:30)

UMMUSAIF.COM
43000, Kajang.

13 thoughts on “Kemuncak Debaran

  1. “Bakal suami ku berbaju Melayu putih, kopiah putih serta bersampin songket ungu tiba di perkarangan rumah ku selepas Isya’.

    Sungguh kacak…”

    Nak nangis boleh?

    (Terima kasih adindaku sayang)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s