Sesekali Ujian Datang Bukan Dipinta…


 

Tinggal beberapa bulan lagi aku akan mengambil peperiksaan akhir jurusan perubatan (final med exam). Dan dalam tempoh 3-4 bulan itu juga aku akan melangsungkan perkahwinan ku.

Hmm…terlalu banyak perkara yang perlu aku fikirkan pada waktu itu.

Adakah aku sudah bersedia?

Adakah aku sudah mampu mengharungi segalanya?

ntah aku belum pasti…

Sesekali, terdengar-dengar suara tunang ku seakan-akan mengeluh dan mengalah di hujung talian sana. Tidak bersedia katanya. Terlalu banyak yang harus difikirkannya. Terlalu banyak yang harus disediakan. Degree yang tidak habis-habis sejak kami bertunang dan duit yang tidak seberapa sebagai persiapan untuk wang hantaran ku berterusan membelenggunya.

Allah… kasihan…

Masih terngiang-ngiang di telinga pesan ayahanda ku, pastikan ke dua-dua kami habis belajar sebelum bernikah. Itulah janji kami ketika mana ibu bapa kami bersetuju dengan tempoh dua tahun pertunangan itu.

Keputusan untuk bertunang tidak pernah sama sekali susah untuk dibuat. Dengan satu panggilan telefon sahaja, aku telah mengatakan “Ya” kepada calon yang dicadangkan oleh pihak Baitul Muslim. Kami hanya berutusan emel dan surat beberapa kali dan berjumpa sekali sahaja sebelum pertunangan pada September 1999 dilangsungkan. Tidak pernah susah.

Sekali lagi ayahanda berpesan sebelum aku berangkat menaiki kapal terbang pulang ke Ireland agar memastikan pembelajaranku selesai dengan selamatnya sebelum bernikah. Risau seorang ayah sentiasa membuatnya mengulang-ulang nasihat itu.

Aku menjenguk cuaca menjelang summer di luar jendela.

Walaupun kelihatan cerah namun anginnya tetap sejuk hingga ke tulang. Ku lihat beberapa orang Irish ladies sudah pun mula memakai baju yang agak nipis dan singkat di dalam cuaca yang masih sejuk itu. Aku kembali menatap buku Oxford Medical Handbook yang menjadi ‘kitab’ ku sejak beberapa bulan lalu.

Hmmm…

Bila masa nak menelaah, bila masa nak fikirkan kerunsingan tunang, bila masa nak kumpul duit, bila nak buat persiapan perkahwinan…
Semuanya menyerabutkan…

Alhamdulillah untuk persiapan perkahwinan, aku serahkan bulat-bulat kepada semua kakak-kakak ku di tanahair. Mempunyai tiga orang kakak kandung dan tiga orang kakak ipar amatlah membantu pada ketika itu. Segalanya aku subsidikan kepada keluarga. Hatta, ukuran dan design baju perkahwinan pun aku hantar melalui emel sahaja.

Sesekali ingatanku terbang ke Belfast sana.

Ada perasaan rindu di celah-celah rasa kasihan. Kasihan yang membawa rasa rindu. Kasihan dengan kerisauan yang difikirkannya.

Beberapa bulan sebelum itu, dia ada menyatakan hasratnya untuk melewatkan perkahwinan. Katanya tidak cukup persediaan kewangan. Berapalah sangat yang mampu disimpan untuk mencukupkan wang hantaran. Dia terpaksa menyimpan wang untuk ke Jordan semula kerana dia terpaksa menghabiskan sisa baki hafazan al Quran yang merupakan syarat wajib graduasi di universiti beliau. Sudah hampir 3 tahun, pengajian tersadai begitu sahaja. Duit yang sama juga tunangku terpaksa gunakan untuk pulang ke Malaysia melalui Jordan. Terlalu banyak persiapan dan wang yang perlu digunakan.

Aku terus menyambung pembacaan ku…

Buku yang sama aku ulang baca agar isinya terus melekat di kepala. Setiap tajuk kecil aku wajibkan baca sekurang-kurangnya 2 kali sebelum peperiksaan. Aku bukan seorang pelajar yang ‘gifted‘. Memori ku agak lemah. Selalunya aku perlu baca berkali-kali sebelum ia benar-benar ‘register‘ di dalam kepala.

Peperiksaan akhir ini sangat menguji. Gagal atau lulus benar-benar memberi impak yang besar kepada masa hadapan kami. Walau apapun yang berlaku, aku mesti lulus!

Tiba-tiba aku teringat, rupa-rupanya tunangku tatkala ini sedang berada di Tanah Besar kerana mengikuti program jemaah untuk beberapa hari. Katanya hanya untuk beberapa hari sebelum dia berangkat ke Jordan semula.

Ku jenguk handfone Ericson ku yang gedabak itu. Hmmm… belum ada mesej daripadanya pada hari ini…

“Rinnnngggg… rinnggggg…ringggg…”

Bunyi deringan telefon menggerakkan aku dari tidur.  Aku telah tertidur rupa-rupanya. Sudah hampir masuk waktu Isya. Astaghfirullah!

Namun panggilan itu harus aku jawab. Ianya panggilan daripada Min, housemate aka bestfriend tunangku di Belfast.

“Assalamualaikum Kak Muna. Min ni.”

“Waalaikumussalam Min. Apa khabar? Kenapa ye telefon akak?”, saya membalas.

“Maaf kak, saya ganggu malam-malam ni. Saya tak tahu nak bagitau akak macam mana, tapi saya ada berita buruk nak bagitau akak”, Min berkata sambil ada getaran di dalam suaranya.

“Kenapa Min, apa yang berlaku?”

“Ntah la kak, saya pun tak tahu nak bagitau akak camana, tapi sekarang ni ustaz sedang ditahan oleh pihak polis di Scotland!”, Min menangis sambil meneruskan kata-katanya.

Allah…lemah kaki ku. Sejuk badan ku. Gelap pandangan ku. Allah..apakah musibah ini?

Min kata, tidak banyak informasi yang dia dapat. Semuanya masih menunggu sebarang berita baru daripada tunangku.

Allah..

Baru seketika tadi rasanya aku terkenangkan masa hadapan dan lepas ku bersama tunang. Teringat betapa mudahnya kami ingin bertunang di awal-awal dulu. Namun, betapa sukarnya kami hendak mengumpul wang untuk persiapan perkahwinan. Dan betapa sabarnya tunangku di dalam ujiannya menghabiskan pelajarannya.

Allah…
Aku segerakan solat Maghrib ku yang hampir memasuki waktu Isya itu.

Ya Allah..bantulah hamba-hambaMu ya Allah…

Malam itu munajat ku lebih daripada biasa. Aku takut Ya Allah. Aku risau Ya Allah.

Bagaimanakah keadaannya dia Ya Allah..

Makankah, tidurkah, sejukkah, takutkah, diseksakah?
Segala bentuk kesusahan di dalam penjara tergambar di fikiran.

Ya Allah selamatkanlah tunang ku Ya Allah…

Sahabat kami di Scotland yang baru sahaja kehilangan tunangnya disebabkan penyakit kanser masih lagi bermain-main di minda ku. Putus tunang akibat dipanggil ke Rahmatullah tetap menyayat hati walaupun statusnya hanya bergelar seorang tunang.

Ya, dia hanya tunangku. Tipu jika aku tidak ada perasaan sayang padanya. Dua tahun kami bertunang, segala susah senang, suka duka kami kongsi bersama. Aku menerima dia dengan seadanya. Dan dia juga menerimaku tanpa syarat apa-apa.

Kenangan bagaimana detik permulaan aku diperkenalkan dengan tunang ku oleh Akhi Fauzi, wakil senior di Dublin melalui satu panggilan telefon pada Disember 1998 masih segar di fikiran.

“Ukhti, taknak tanya ke ustaz tu macam mana?”, tanya Akhi Fauzi.

“Err…nak tanya apa, saya tak pandai. Elok bagi akhi, elok la bagi saya.”, aku hampir terketawa malu ketika menjawab soalan itu.

“Ye la, taknak tau ke rupa dia ke, asal dia ke atau perangai dia?’, tanya Akhi Fauzi lagi.

“Saya ok aje. Asalkan jangan orang Pantai Timur udah, susah saya nak balik raya.”

“Elok la tahu sikit-sikit. Orangnya agak besar”, Akhi Fauzi menambah.

” Ok.. Asalkan dia tinggi dari saya cukup. Saya tak kisah rupa dan saiz dia. Yang penting, dia ustaz. ”

Ya, Ustaz adalah ciri wajib yang aku letakkan ketika mengisi borang Baitul Muslim tak lama sebelum itu.

Kejutan daripada Min tadi tidak sesekali membuatkan aku sama sekali menyesal memilih seorang ustaz.

Aku yakin dia pilihan terbaik untuk ku. Walaupun dia belum lagi menghabiskan pengajiannya dan apatah lagi belum tetap masa hadapannya, aku tetap yakin dia bakal membahagiakan ku di dunia dan akhirat.

Aku tidak pernah memilih. Aku tidak pernah berkira. Kemewahan bukan keutamaanku. Aku tidak kisah jikalau rumah kami nanti hanya berperabotkan tikar dan tilam seperti yang aku lihat di rumah-rumah pasangan pelajar Malaysia di Mesir sewaktu lawatan ku di sana. Aku tidak pernah takut akan kesusahan kerana aku sudah biasa dengan kesusahan. Sejak kecil aku tidak pernah dimewahkan. Ayahanda aku adalah seorang guru agama yang membesarkan sepuluh orang anaknya dengan hanya bergaji RM500 sebulan. Pastinya didikan ayahanda yang tidak pernah memewahkan kami membantu aku di sepanjang perjalanan hidup ku.

Ya, aku tidak pernah menyesal…

Aku yakin Allah Maha Mengetahui akan hikmah ujian maha besar ini.

Fa inna ma’al ‘usri yusra. Inna ma’al ‘usri yusra!

Malam itu terus gelap dan sejuk buat ku…
Allah, lindungilah tunangku Ya Allah…

Sesungguhnya aku yakin sudah bersedia untuk sehidup dan semati dengannya…

UMMUSAIF.COM
43000, Kajang.

11 thoughts on “Sesekali Ujian Datang Bukan Dipinta…

  1. Baca beriringan dengan cerita di blog Ustaz tentang ‘Abdullah’nya dia di tahanan immigration, macam berada dalam cerita kalian berdua, teruskan menulis kak Muna.

  2. tak ramai ada keberanian macam dr buat. Alhamdulillah..

    ” Ok, asalkan dia tinggi dari saya cukup. Saya tak kisah rupa dan saiz dia. Yang penting, dia ustaz. “

  3. Nadhirah….sebenarnya apa syarat kita thadap pasangan yg kita mahu atau pilih menentukan corak keluarga yg bakal terbina kemudiannya…

  4. salam doktor,
    membaca cerita dr. mengingatkna saya kepada cerita abu saif tentang abdullah dlm blog. inilah kesinambungan ceritanya, tapi dari pihak yang lain..Tulisan dr penuh motivasi…^_^..

  5. Muna,
    saya tertunggu tunggu tulisan muna yg seterusnya. Semoga terus menulis esp mengenai family and medical.

  6. Assalamualaikum dr.muna…

    sgt menyentuh hati membaca blog dr & ustaz. moga sy dpt inspirasi dari kedua-duanya. teruskan menulis….

    ”Ok, asalkan dia tinggi dari saya cukup. Saya tak kisah rupa dan saiz dia.
    Yang penting, dia ustaz. “

    dr.muna…doa kita sama. alhamdulilah skg sy menjadi tunangan seorg ‘ustaz’. doakan kami dipanjangkan jodoh hingga ke syurga firdaus.🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s