Inilah Kami…


Salam buat pembaca sekalian..

Hmm sudah lebih sepurnama saya tidak menulis di blog. Suami pun sesekali mencuit kesepian serta hinggakan seorang pembaca menghantar mesej personal kepada saya, bertanyakan artikel baru daripada Ummusaif. Maaflah, beberapa minggu ini terlalu banyak perkara yang difikirkan, terlalu banyak assignment yang tertangguh dan terlalu banyak tanggung jawab dan amanah yang perlu dilaksanakan terutama semenjak Abu Saif banyak bermusafir dalam tempoh sebulan ini.

Semasa Abu Saif bermusafir tempohari, setiap hari saya berulang alik menghantar anak ke sekolah. Tambahan pula saya bekerja sepanjang cuti hari raya cina. Dan sebagai ibu, semestinya tanggung jawab saya lebih untuk mengadap dan melayan kerenah anak-anak sepanjang cuti tersebut. Maka, apabila balik sahaja ke rumah (daripada kerja), saya terus mengadap anak-anak terutama si kecil. Anak-anak sangat terkesan semasa ketiadaan abi mereka. Sesekali mereka akan bersuara bertanyakan abi. Paling teruk ialah Saiful Islam yang tiba-tiba sahaja kelihatan senyap, tidak berkata-kata atau ketawa selama sehari pada hari ke 5 abi pergi.

Kisah dulu

Teringat pada tahun 2008, semasa abi bermusafir selama seminggu ke Jepun. Kami sangat tertekan ketika itu. Mungkin kerana pada ketika itu kami masih tinggal di kondominium di Cheras dan anak-anak hanya terperuk di dalam rumah selama seminggu semasa ketiadaan abi. Stres yang melanda Tuhan sahaja yang tahu. Penat berkerja dan terpaksa menguruskan Saiful Islam ke sekolah setiap hari amat menguji saya. Ditambah dengan sedih berjauhan dengan suami sungguh menerukkan keadaan. Anak-anak juga ada yang kurang sihat pada waktu itu.

Saya menjadi sangat pemarah. Pantang anak-anak meragam atau bergaduh, saya akan melenting, marah dan kadang-kadang memukul mereka. Paling teruk ialah Saiful Islam yang sering dimarahi sebagai anak sulung.

Apabila suami pulang ke Malaysia, Saiful Islam mula menunjukkan simptomnya. Pantang ditegur sahaja, beliau terus melenting. Pada hari ke dua abi balik, beliau terus menjadi lagi teruk. Saiful Islam ‘meletup’ lalu mengeluarkan tantrumnya. Beliau menjadi seorang yang sangat negatif dan agresif. Sepanjang minggu seterusnya beliau terus menerus menjadi pendiam, pemarah dan juga suicidal! Hinggakan beliau asyik menyembut ingin mati supaya lebih tenang di sana. Astaghfirullahal azim!

Saya dan suami menjadi takut. Saya terus membuat surat rujukan kepada klinik psikiatri PPUKM. Tarikh janjitemu adalah agak lewat pada ketika itu. Saiful Islam terus menerus menunjukkan simptomnya. Apabila ditegur sahaja (walaupun secara lembut), beliau akan melawan dan melenting. Beliau pernah menulis nota yang ditujukan kepada kami berbunyi, “abi umi, yop akan tinggalkan abi dan umi”! Bayangkan seorang kanak-kanak berumur 6 tahun mampu menulis ayat sedemikian!

Kerana tidak tahan dengan semua itu, kami nekad untuk meminta janjitemu psikiatri dipercepatkan. Alhamdulillah doktor di klinik psikiatri PPUKM sangat memahami dan prihatin.

Perjumpaan dengan pakar psikiatri

Doktor di sana sangat bagus. Mereka berjaya ‘berbual’ dengan Saiful Islam. Kagum kerana kami abi dan umminya sendiri tidak mampu mengorek rahsia kotak pemikirannya. Saiful Islam memberitahu kepada doktor bahawa keluarganya tidak bahagia, sering bergaduh sesama adik beradik. Ya, kami memang tidak bahagia pada ketika itu..

Semasa terapi, Saiful Islam diperhatikan ketika beliau berbual, bermain permainan dan melakarkan lukisan. Salah satu lukisan yang membuatkan saya terasa amat sedih ialah sebuah lukisan orang lidi bertajuk “Keluarga Saya”.

2 orang lidi berwarna coklat di kiri gambar, 1 orang lidi berwarna hitam di tengah-tengah gambar dan 3 orang lidi berwarna hijau di kanan sekali gambar. Apabila ditanya kepada Saiful Islam, 2 orang lidi berwarna coklat itu ialah abi dan Saiful Islam, 3 orang di kanan itu ialah bibik, Naurah dan Imad manakala orang lidi berwarna hitam di tengah-tengah gambar itu adalah ummi, si kambing hitam yang tidak berkawan. Saiful Islam meneruskan lagi erti setiap warna orang-orang lidi tersebut.

Saya berasa sangat sedih. Sedih kerana saya faham akan erti lukisan tersebut. Dalam pada masa itu, saya juga berasa marah, marah kepada suami saya yang dikatakan sebagai ‘Ultraman’ di mata Saiful Islam kerana sering pulang membawa hadiah kepadanya.

Ye lah, siapa lah saya, hanya seorang ummi yang selalu menjengkelkan, yang selalu memastikan homework Yop siap dibuat, yang selalu memastikan Yop bangun awal pagi ke sekolah, yang selalu menegurnya apabila berebut permainan dengan adik-adik, yang selalu berpesan macam-macam di dalam kereta semasa perjalanan ke sekolah, dan macam-macam lagi. Itulah ummi..

Namun, abi yang selalu tiada di rumah itulah hero pujaannya kerana pulangnya abi dengan pelbagai hadiah dan sudah pastinya akan dibawa berjalan-jalan ke tempat permainan sesudah abi pulang.

Saya sedih. Kenapa saya gagal, saya pun tidak faham..

Muhasabah suami isteri

Saya dan suami banyak berdiskusi selepas itu. Kami sudah nampak di mana defectnya. Stres menguruskan anak-anak, kurang sokongan pasangan dan musafir suami yang agak kerap pada ketika itu adalah penyebabnya. Si isteri tertekan,’melepaskan’ kepada anak- anak lantas anak-anak juga mendapat kesannya. Typical, so typical..
Mungkin inilah yang menyebabkan ramainya kes dera kanak-kanak, dek faktor stres di kalangan ibu bapa.

Alhamdulillah, selepas ‘ice breaking‘, kami lebih mudah berbicara hati ke hati dengan Saiful Islam. Dalam tempoh sebulan sahaja beliau sudah kembali seperti sebelumnya, ceria, periang, bersemangat dan lebih bersikap positif.

Kami juga banyak berdiskusi hati ke hati sesama suami isteri. Kami membuat janji dan memperbaharui cinta kami suami isteri. Berjanji akan memastikan pengurusan, pendidikan minda dan psikologi anak-anak sentiasa diutamakan. Kami juga sentiasa berjanji akan meluah dan menyokong perasaan masing-masing demi kebahagiaan keluarga.

Kelebihan rumah baru

2009 merupakan tahun yang banyak mengubah hidup kami. Terlalu banyak penghijrahannya. Di antaranya ialah pindah ke ‘rumah atas tanah’, dengan kata lain bukan lagi ‘kotak’ kondominium. Ini banyak mengurangkan stres kami anak beranak. Tiada lagi keadaan terperuk di dalam rumah apabila abi tiada. Anak-anak lebih mudah untuk bermain di luar rumah di dalam kawasan pagar tanpa perlu dibawa ke taman permainan yang jauh. Anak-anak juga lebih ceria, aktif dan mempunyai ramai kawan-kawan di kalangan anak jiran.

Saya sendiri juga berasa tenang dan bahagia lepas berpindah ke rumah baru. Persekitaran rumah yang lebih luas untuk bergerak dan pemandangan hijau sungguh banyak membantu. Bibik baru juga nampaknya  ‘bahagia’ di kawasan rumah baru ini kerana ramai kenalan Indonesia (bibik) yang lain. Saya tak perlu risau bibik saya tension dan stres duduk terperap di dalam rumah lagi.

Perubahan


Kami suami isteri lebih sering berkomunikasi sebarang masalah baik masalah anak-anak mahupun masalah sesama kami sejak kejadian Saiful Islam itu. Sebarang masalah walaupun dirasakan kecil, tidak kami pandang remeh, segera kami atasi.

Pendidikan dan pembinaan sikap serta minda anak-anak antara agenda utama kami. Sebarang peluang untuk memperbaikinya kami usahakan termasuklah usaha untuk memasukkan Saiful Islam ke sekolah Khalifah Model School.

Suami juga banyak meminta pandangan saya sebelum beliau ingin bermusafir jauh. Dengan pengalaman dan kematangan yang Allah berikan, Alhamdulillah saya semakin bijak dan tenang menguruskan anak-anak semasa ketiadaan suami. Berkat pembacaan, kursus, diskusi suami isteri, Khalifah Method dan juga doa kepada Ilahi, kami lebih sabar dan berstruktur dalam mengurus dan mendidik anak-anak. Kami sentiasa cuba menerapkan positive behaviour encouragement kepada anak-anak. Walaupun sedikit tetapi kami berazam tidak akan jemu dan akan terus menerus mengubah diri kami dan anak-anak.

Sebarang buruk sangka atau salah faham suami isteri cepat kami atasi dengan perbincangan 2 hala yang positif. Kami juga cepat memaafkan satu sama lain. Bagi saya sendiri, gaduh yang berpanjangan hanya merugikan diri sendiri dan ianya tidak menyelesaikan apa-apa. Lebih baik bersemuka atau berbincang dan jangan sesekali memendam rasa. Perbincangan dengan rasa cinta dari hati ke hati adalah yang terbaik buat semua pasangan suami isteri. Jangan sesekali berbincang di dalam keadaan marah kerana emosi lebih mengatasi akal.

Pengajarannya

Inilah lumrah hidup saya sebagai isteri kepada seorang penceramah yang diminati ramai. Kisah hidup saya ini yang pastinya mungkin hampir sama dengan isteri penceramah atau pendakwah yang lain. Saya hanyalah insan biasa, sama seperti isteri-isteri di luar sana yang masih berjuang untuk berikan yang terbaik buat diri dan keluarganya.

Buat mad’u semua, daie anda hanyalah insan biasa. Mereka bukan perfect, bukan juga maksum. Sokongan, prihatin dan kefahaman mad’u semua penting untuk kebahagiaan keluarga da’ie bagi memastikan dakwah yang sebenar terus berjalan.

Bagi yang bercita-cita untuk menjadi atau sudah pun menjadi pendakwah pula, maka hargailah isteri dan anak-anak anda. Jangan dipandang remeh pengorbanan mereka. Jangan serahkan 100% pengurusan anak-anak kepada isteri. Seorang isteri sangat-sangat memerlukan sokongan suami begitu juga sebaliknya. Menguruskan anak-anak tidak cukup sekadar menguruskan makan minum, tidur dan berak kencingnya, tetapi anak-anak perlukan perhatian, kasih sayang dan didikan daripada ke dua ibu bapa. Anak-anak adalah kesan hasil daripada setiap satu tindak tanduk kita.

Dan yang paling penting, jangan sesekali bercita-cita untuk berpoligami selagi anda belum berikan yang terbaik kepada keluarga anda yang satu ini. Poligami anda hanya akan merosakkan institusi kekeluargaan itu sendiri apabila keluarga anda yang pertama tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya.

Bagi para isteri pula, jangan jemu untuk meluahkan perasaan kepada suami tatkala kita merasa kemurungan. Jangan dibiarkan suami terlalu asyik dengan kehidupan di luar sana hingga lupa akan tanggung jawabnya di rumah. Dalam pada masa yang sama, sentiasa mempositifkan cara memandang kerja dan tugas suami supaya kita lebih tenang, redha dan kuat menghadapi sebarang ujian yang datang menjengah.

Kedua-dua suami dan isteri haruslah sentiasa memperbaharui cinta anda. Tempoh perkahwinan yang lama bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk berubah. Jangan putus asa dan berfikiran negatif.

Akhir kata kunci daripada saya buat kali ini, rengek dan ragam anak-anak adalah refleksi daripada hubungan anda suami dan isteri, satu keluarga…

UMMUSAIF.COM
68000, Ampang.

56 thoughts on “Inilah Kami…

  1. Salam.
    Semoga ummusaif tabah selalu..
    Dalam pemerhatian saya, banyak penceramah kadang-kadang sibuk ke sana sini, sedangkan anak-anak mereka sendiri yang tudung pun entah ke mana, apatah lagi solat.
    Habis, macam mana mad’u nak percaya pada da’ie macam ini?
    Saya yakin dengan pengorbanan ummusaif, Ustaz Hasrizal tak tergolong dalam penceramah yang sedemikian. InsyaALLAH..

  2. salam..
    a very good experienced shared kak muna!
    banyak pengajaran dan ibrah yang boleh diambil bagi yang belum mempunyai anak ini dan bercita2 menjadi seorang daie yang berjaya:0

    InsyaAllah! semoga dipermudahkan semuanya kak muna..saya kagum dengan isteri yang berkorban di rumah sementara suami berdakwah di luar..kagum dengan kak muna juga!

    saya punya seorg kwn baik yang suaminya juga selalu keluar, bukan sekejap, 40 hari paling lama..isteri muda mcm sahabat baik saya itu, pada awal nya mmg susah nak terima dan pandangan masyarakat mcm2..tapi Allah swt banyak mudahkan dia pada bahagian lain..dia juga menulis di blog tentang pengalamannya..seorang ibu muda+drilling engineer+wife+fully breastfeed her daughter..

    pada saya kak muna dan sahabat saya ini seorang superwoman!🙂 jazakillah khairan kasir ukhti habibati!

  3. assalamualaikum, ummu saif

    kisah saifulislam di atas benar-benar buat saya tersentuh, bergenang air mata. dia betul-betul terkesan dengan situasi ketika itu. saifulislam perlu baca ‘surat cinta’ umminya ini, untuk dia ingat pengorbanan besar ummi dan abi dan harapan mereka kepadanya sebagai anak sulung.

    Semoga Ummusaif, dan keluarga terus menjadi contoh yang baik untuk diteladani, insyaAllah..

  4. Assalamualaikum K.Muna,

    Thank you for sharing ur experience.. Alhamdulillah.. everything has turned out to be fine..🙂

    Boleh K.Muna kongsikan..apa pendekatan yang kini K.Muna & Ustaz gunakan jika melihat kesalahan Saiful Islam yg berulang-ulang kali?
    Adakah kita sbg ibu bapa/ atuk/ nenek patut meninggikan suara utk mendidik anak2 lelaki yg baru berumur 7 tahun?Takut dalam hati mereka akan menjd pendendam dan memberontak dlm diam..

    TQ, K. Muna..

    P/S: Sorry, ingat hari tu nak call K.Muna tapi takut kacau K.Muna tgh rehat kat rumah b4 gi kerja..🙂

  5. saya panjangkan artikel ini kpd ahli keluarga saya…moga memberi manfaat dan kesedaran untuk mereka…terima kasih kak muna dgn artikel ini…

  6. Salam ‘alaik Dr Muna, boleh saya panggil Ummu saif ye🙂

    Saya juga tersentuh membaca luahan hati ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebannya..

    Terima kasih ats perkongsian yang dapat dimanfaatkan oleh semua ini. Ummu Saif dan keluarga juga menjadi contoh rujukan saya dan suami dalam membesarkan anak-anak. Hakikatnya, apa yang Ummu Saif alami adalah didikan Allah yang mahukan usaha berterusan dibuat, yang lemah diperbaiki mana kala yang baik dikekalkan untuk memastikan kebaikan anak-anak sentiasa dipelihara. Allah tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia, pasti di sebalik yang terjadi..ada hikmahnya.

    Saya bersyukur kerana di UK ini ada pelbagai rancangan yang menarik berkaitan keibubapaan untuk dijadikan panduan para ibu bapa termasuk saya sendiri. Antaranya, ‘Jo Frost: Extreme parental guidance’. Dari sekian banyak kes yang dikendali oleh Jo, hanya ada satu rumusan penting mengapa anak-anak berkelakuan tidak sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa.

    Mereka mengharapkan perhatian, masa untuk berbual, bercerita dan seumpamanya bersama ibu bapa. Hadiah sekali sekala tidak mengapa. tetapi masa bersama-sama yang lebih mereka hargai dan kenang sampai bila-bila.

    InsyaAllah Ummu Saif tidak keseorangan….ramai yang memahami dan sentiasa mendoakan Ummu Saif dan keluarga.

    Terima kasih atas setiap masa yang dicurahkan sebagai seorang Doktor demi kebaikan kepada kami kaum wanita lain di luar ini terutamanya, di samping tugas-tugas tabii seorang ibu dan isteri.

    Allah merahmati dan memberkatimu, Ummu Saif. Teruskan melangkah🙂

  7. satu realti yang semua insan should consider…
    kita takkan pernah sempurna tapi itu tidak mematahkan semangat kita untuk menjadi insan terbaik dan cuba untuk sempurna..
    dalam bekeluarga apa yang penting komunikasi dan toleransi..
    InsyaAllah moga ummu saif dimudahkan dan dibuka jalan untuk mendidik permata-permata Islam ini..

  8. Saya merasakan, sesuatu yg sukar utk bercerita ttg salah sendiri, kpd masyarakat.
    Namun, kesediaan Ummu Saif dan Ust menimbulkan tanda tanya kpd saya,
    apakah tujuan di sebalik penceritaan ini semua?

    p/s;Maaf, soalan diajukan atas dasar ingin tahu, krn saya sendiri cukup perahsia dlm hal ehwal ini, lbh2 lagi berkenaan keluarga.jzk

  9. Saya sudah lama ingin menulis cerita ini, tapi saya menunggu masa yang sesuai (selepas satu tahun lebih) dan cara penyampaian yang sesuai. Dan kisah Saiful Islam ini sudah pun ustaz ceritakan dalam SIO cuma ianya dari persepsi dan gaya penceritaan beliau. Dan ini adalah versi saya pula.

    Salah satunya ialah saya ingin sampaikan kita semua insan biasa, bukan maksum dan perfect. Terus terang saya katakan cara didikan kami pada anak2 bukan cara yang perfect, kami masih mencari dan terus mencari.
    Begitu juga cara berhubung dengan suami isteri. Kami sentiasa perbaiki dari masa ke semasa.

    Ramai yang kata saya isteri mithali atau kami keluarga perfect atau keluarga contoh, atau suami saya seorang yg hebat, etc, etc, kadang2 membuatkan saya rasa malu. Saya, suami dan keluarga saya tidaklah sehebat mana. Malah ada yg meluat dan menyampah melihat suami saya tidak sudah2 diberi pujian.

    Oleh itu, saya tidak mahu masyarakat terus salah menilai kami para pendakwah.

    Dalam pada masa yg sama, masalah membesar dan mendidik anak2 adalah masalah majoriti masyarakat kita.
    Masalah anak2 adalah mencerminkan masalah backgroud keluarga kita, masalah ke dua ibu bapa dan juga masalah masyarakat dan persekitaran. Dengan kata lain, anak2 terbentuk oleh faktor di luar mereka.
    Ramai yang mengadu kepada kami, anak2 yg degil atau anak2 menggunakan bahasa yg kasar, padahal mereka tidak nampak atau perasan, semuanya berpunca dari hubungan ke dua ibu bapa atau ahli keluarga yg ada di sekitar mereka.

    Saya teringat kata2 pakar psikiatri di PPUKM tersebut, ibu bapa tak perlu bergaduh cakap, atau meninggikan suara, cold war (perang dingin) di antara ibu bapa sudah cukup memberi kesan kepada anak2.

    Kesimpulan saya, cerita kami adalah untuk pengajaran dan perkongsian semua. Saya cuma menulis secara superficial dan bukan explicit. Dan kami bukan satu2nya penulis yg menceritakan pengalaman sendiri. Majoriti penulis dan motivator yang terkenal dan berjaya, menulis pengalaman sendiri contohnya Stephen Covey.

    Lastly, always update your love, your education, your way of thinking, your perception and your dreams…

  10. @Ummu Yusra
    Salam Ya Ummu Yusra,

    Pekabar?
    Hmm, seperti yg k muna dh mention di atas, kami masih gunakan Khalifah Method tu ialah positive behaviour encouragement. Bila buat baik, kami puji, bagi hadiah, pelukan atau paling simple senyuman. Tapi bila buat perangai, kami akan terus tegur but heart to heart ie slow talk. Daripada pengalaman kami, menengking dan meninggikan suara hanya memburukkan keadaan, malah akan menjadikan anak-anak berdendam, berahsia dan lbh banyak perangai yg dilakukannya.

    Mmg byk mujahadah dalam diri sendiri. Kadang2 kami gagal jugak dan terlepas. Kami sendiri pun masih banyak yg kena belajar..
    Yang penting kena konsisten.
    InshaAllah kamlian berdua should be ok, bcoz sekolah Adni pun menggunakan method yg sama.

  11. salam ummu saif.

    saya setuju dgn pdgn ummu saif. bercerita bukan bererti membuka pekung di dada. ia juga bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan @ kesempurnaan. ianya lebih kepada suatu perkongsian. semoga Allah memberikan manfaat (dari segi pengajaran tersirat/tersurat) buat yang membacanya.

    sebenarnya, saya bersyukur kerana ada insan yg Allah limpahkan kelebihan untuk menulis secara berkesan. kerana dengan itu, ilmu walau sedikit boleh dilimpahkan manfaatnya kepada yg ramai. tulisan yang positif juga membantu sang penulis sendiri untuk mengingatkan kembali apa yang telah dipelajari daripada pengalaman…

    semoga dengan menyebarkan nasihat di kala kita ingat, akan membuka hati org lain utk menasihati di kala kita terlupa. kerana kita adalah insan…

  12. salam kak,

    thank you for sharing kak.. n yes yop was quiet the other day..bile tanye yop kate rindu abinye..Alhamdullilah lepas main2 yop kembali ceria..😉 rugi g tak ambik gambar hari tu..mmg banyak aksi2 kelakar esp from naurah n imad😉

  13. saya sering mengikut perkembangan blog ni. .saya mempunyai 3 org anak yg masih kecil belaka…mmg betul susah nak mendidik anak2 bila perlakuan diorg menguji tahap kesabaran kita sbg ibubapa..tapi dgn berkongsi idea seperti ini kita dpt betulkan mana kesilapan dlm mendidik mereka…so tq to ummusaif.

  14. Pingback: Anak-anak adalah seperti kain putih yang bersih – Blog

  15. Assalamualaikum semua,

    Kak juga seorang ibu. Dah mengalami semua itu. Tapi bila anak dah remaja/besar, ramai yang berkata(akak juga). “jaga anak yang kecil lagi senang dari anak yang dah besar panjang ni.. Kalau boleh biarlah diaorang tu sentiasa kecik. tak besar-besar”.

    Ya.. Hidup ini “Madrasah Cinta kita”. Pengalaman akan mematangkan kita dan akan menguatkan cinta kita pada yang Maha Esa.

    “Jika Allah memberikan kesusahan, Dia mahu mendidik kita memberi pengorbanan.
    Jika Allah memberikan rasa kemarahan, Dia mahu mengajar kita tentang kesabaran
    Jika Allah memberi kelebihan, Dia mengajar kita tentang keikhlasan.

    Mana mungkin sekali berjuang kita akan menang,
    Mana mungkin sekali menang kita akan matang,
    Mana mungkin matang bila dalam perjalanan kecundang,
    Mana mungkin kejayaan berterusan tanpa tumbang.”

    Wassalam.

  16. Salam Dr,

    Artikel anda mengingatkan saya semasa menjadi tutor semasa zaman universiti. Saya rasa saya gagal mendidik anak murid kerana kegagalan saya mengawal sikap marah.

    Artikel ini sangat kritial untuk disiarkan kerana saya rasa amat tidak selesa apabila orang menganggap seseorang ustaz memiliki rumah tangga yang baik dan hidup yang sempurna. Ini hanya akan membawa kepada ketaksuban dan penerimaan input secara bulat2 tanpa berfikir.

    walahualam.

  17. salam Dr Muna..

    tersentuh hati membaca entry Dr ni.saya rasa saya tak mampu untuk menjadi sekuat Dr andai saya di tempat Dr.tahniah kerana Dr dan ustaz berjaya mengatasi stress yang melanda dalam rumah dengan baik..baru saya sedar hakikat sebuah perkahwinan tak semuanya indah..lebih2 lagi bila anak2 semakin membesar dan semakin memahami erti sebuah kehidupan..

    jazakallah atas perkongsian yang menarik ini..buat panduan bagi saya yang masih bujang ini..

  18. terima kasih atas perkongsian….

    so honest and true…
    seronok jugak bila kita dapat mengetahui bagaimana perjalanan hidup orang lain…walaupun x mengalaminya sekurang-kurangnya boleh tahu dan faham….

    cadangan …kalau dr. Muna dan ustaz boleh tulis buku untuk pendidikan anak-anak secara Islam mesti macam-macam boleh dijadikan panduan…

  19. Assalamualaikum,

    Ummu Saif,
    ini pertama kali rasanya saya menulis komen dalam blog Ummu Saif.

    Saya juga pernah melalui keresahan dan rasa kesal kerana akhirnya terpaksa mengakui ‘saya gagal menjadi ibu yang baik’.

    Apa yang ummusaif tampilkan dalam usaha untuk memperbaiki kekurangan dalam pengurusan keluarga itu telah saya telusuri apabila saya keseorangan menguruskan anak-anak yang 5 orang.

    Sungguh, saya juga dahulu sering hilang sabar melayan kerenah anak-anak lantaran beban harian yang tidak ada hentinya. Namun apabila suami dipanggil oleh Yang Maha Esa, ia menjadi satu tamparan hebat untuk saya supaya mengubah sikap dan cara dalam mendidik anak-anak.

    Anak-anak pula apabila kehilangan kasih sayang seorang ayah (secara total.. dan bukan hilang part time macam anak yang berayahkan pendakwah macam Saiful Islam) sikap mereka juga berubah. Pemarah, perajuk, tidak terkawal, mahukan kebebasan dan entah macam2 lagi.

    Sungguh, hanya apabila suami ‘benar-benar’ tiada, maka pada saat itu, barulah terlalu banyak kita teladani tentang hidup.

    Allah Akbar
    Allahumma a’inna ya rabb…

  20. Salam Ummusaif,

    Tahniah kerana menerbitkan artikel sebegini. Pengajaran-pengajaran macam inilah yg kita mahukan. Kebanyakan blog saya dapati banyak memaparkan kelebihan anak-anak, seperti tahu mengaji, tahu membaca yg pada pendapat saya kadang-kala terlalu ‘ideal’. Seolah-olah anak mereka perfect, patuh, mendengar kata, sedangkan realitinya kita tahu, budak-budak tidaklah sempurna mana, kadang-kadang, mereka pun ada ragam mereka sendiri. Syabas kepada ummusaif kerana berkongsi cerita sebegini dan take action dengan segera setelah mendapati anak ada masalah. Saya doakan semoga Ummusaif dan semua ibu di luar sana berjaya mendidik anak-anak menjadi insan yg soleh insyaAllah.

  21. @Hasanah

    salam dr hasanah.
    di didoakan sentiasa sejahtera di bawah pemeliharanNya.
    Sedikit sebanyak saya memahami apa yg dirasakan oleh ustazah sekeluarga walaupun tidaklah sehebat ujian ustazah.

    selalu jugak saya memikir masa hadapan dan ujian yg bakal mendatang. sebagai seorang doktor, mengingati mati itu sentiasa bermain di dalam diri dan sentiasa berfikir ianya bukanlah satu yg mustahil buat saya utk diuji sedemikian rupa.

    setiap hari saya berusaha utk memperkuatkan diri dan mencari ilmu di dalam mendidik anak2 tanpa bergantung 100% kepada suami.

    dan di sini saya syorkan agar semua isteri2 di sana persiapkan diri kita utk apa jua ujian yang bakal menjengah..

  22. Terima kasih ummusaif.

    Saya kagum bagaimana seorang dr boleh melihat kematian setiap hari, mendengar tangisan ahli keluarga mereka dan kadangkala dipersalahkan atas kematian orang yang mereka sayang (mahu sahaja saya salahkan dr yang membedah suami saya! kerana sebelum pembedahan dia sihat dan cergas je, tapi lepas pembedahan, tiba-tiba meninggal. apa dr tu dah buat kat suami saya???).

    Ummusaif,
    dulu saya tak kisah je kalau nak marah anak bila buat salah, lagi pula kalau kesalahan tu dah kita nasihat dan tegur berkali-kali… maka ringan lah pula tangan nak berjalan.

    Tapi, bila Allah angkat darjat mereka menjadi anak yatim, secara spontan tangan saya susah nak jadi alat penghukum. Bila rasa nak bagi ‘hadiah’ je teringat amaran Allah s.w.t.:

    ‘Fa amma al-yatima fa la taqhar’ (maka pada anak-anak yatim, JANGANlah engkau berkeras/ berlaku kasar) – lebih kurang begitulah maksudnya.

    Hmm… Allah Maha Penyayang.

    Ummusaif, bila2 ke penang, mai la singgah makan nasi kat rumah. Hari tu PMIUSM nak jemput us. Hasrizal, tp tak dapat, tak pasal2 saya kena ganti tempat dia huhuuuuu….. saya blh la ganti, tapi tak ummph macam us Hasrizal🙂

  23. salam..saya kagum isteri/ibu yg matang, saya selalu menyesal sbb masa dpt anak no1 & no2, byk cabaran & rintangan , dan saya sendiri kurang matang dlm menangani pelbagai masalah…
    How I wish I can mend it back, tapi mmg impossible…

    Sekarang rasa-rasa nya kena repay balik “kesalahan” lepas, saya & suami terpaksa “pause” (*pause* di sini bermaksud duduk rumah 100% ) Saya cakap terpaksa sbb ada bbrp behaviour/ dicipline anak yg kita kena ubah & kena komited sbb dah jadik buluh baru nak ubah MMG susah ( skarang anak sulung nak masuk 13 tahun) & lessons learnt

  24. salam..

    andai waktu itu boleh diputar tidak sanggup utk saya melalui semula 5 thn yg sngt kelam, dan tragis dlm hidup saya apabila melalui episod berjauhan dgn suami (kerana kekangan kerja) dr mula kahwin dan bertemu hanya 2kali sebulan. melaluinya sendirian dgn anak2 memberi kesan yg sgt buruk kpd saya kerana lynn utk anak sentiasa dlm keadaan stress yg teruk. w/p sentiasa pujuk hati agar redha menerima didikan dr Tuhan agar sabar itu di tingkatkan tp rasa nak je beli kalau sabar itu ada dijual dimana2..betapa mahalnya nilai sabar itu..
    namun sehingga kini kesan dr situ sy masih dilanda kemurungan w/p suami tlh berada disisi, komunikasi kami jd bermasalah..betapa sukarnya mendidik diri untuk jd yg terbaik..ibu kepada anak2 dan isteri kepada suami..
    moga Allah beri saya kekuatan utk melakukannya…

  25. @ummu aisha

    salam. mengapa masih kemurungan? kan sudah tinggal bersama sekarang ini. cuba tingkatkan kominikasi kembali. maybe blh pergi kursus atau kaunseling keluarga bahagia berdua. ambik 2nd honeymoon, atau seumpamanya.

  26. salam..

    thanks ummusaif for the suggestions.. i always dream that but i;m still waiting for the moment it will come true..
    sebenarnya yg penting juga apabila telah memiliki kita sangat perlu untuk memeliharanya kan supaya kita boleh kekalkan suasana mawaddah wa rahmah tu,tp cabarannya tak la semudah yg dibayangkan,,
    apapun saya sentiasa pujuk hati agar sentiasa bertambah rasa syukur kerana walau apapun yg kita rasa kurang dlm diri pasangan kita, syukur Allah anugerahkan kita pasangan.. bila kenangkan ada sahabat sekeliling yg dah berusia dr kita tp masih belum dikurniakan psgn betapa kita perlu muhasabah diri kerana dah terlalu byk kurniaan Allah buat kita kan.. suami dan Anak2..itulah syurga dunia kita.. alhamdulillah..syukran lillah..

  27. Assalamualaikum, ummu saif.

    Teringat zaman kanak-kanak saya. Kanak2, memang delicate. Susah untuk expect apa yang ada di dalam kepala mereka. Kadang2, benda yang kecik dan dianggap remeh je pun, boleh memberi impak besar ke atas pemikiran mereka. I’m sure, u’re aware of that.

    Bukan niat nak membuka kisah peribadi, namun ada saya luahkan mengenainya di post ini

    http://leokid.wordpress.com/2007/05/13/aku-dan-ibuku/

    Semoga ia dapat memberi input, kepada ummusaif mahupun kepada para pembaca lain, inshaAllah.

    Salam dari Nizhny Novgorod. Doakan kecemerlangan saya dalam exam hari khamis ini, subjek Obstetrics. Huhu.

  28. ramai orang sukar untuk bertemu psikiatris

    menarik… satu contoh yg boleh mengubah persepsi tentang pentingnya bertemu psikiatris

    moga Allah bantu kak muna sentiasa

    –terima kasih atas perkongsian,

  29. salam wbt k muna..
    semoga akak dan family dalam rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa..
    kagum dgn akak,,kecik orangnya,,tp berjiwa besar,,=)

  30. salam k.muna,
    apa yang akak ceritakan tu juga pernah terjadi pada saya. pada awal2 perkahwinan saya telah berjauhan dengan suami kerana suami belajar di luar negara dan pada masa yang sama saya sedang mengandung.saya selalu menangis, mengalami kemurungan dan jadi seorang yang baran dan pemarah. saya cuba kawal tapi kurang berjaya.kesannya terbawa2 sehingga selepas anak lahir.saya rasa benci dengan anak saya sendiri.saya rasa indah menjadi ibu tu takde.anak saya pula kuat menangis dan sensitif.sehingga kini umurnya nak masuk 4 tahun, dia akan cepat menangis bila tengok cerita yang menyedihkan di tv dan kenakalannya sangat menguji kesabaran kami sebagai ibu bapa.anak sulung saya ini pernah mengalami kesusutan badan yang drastik akibat sering berjauhan dengan ayahnya.kesedihan berjauhan dengan ayahnya terpancar melalui matanya.
    saya sendiri terus menjadi ibu yang garang dan cepat melenting dengan anak.saya sering melepaskan rasa tension saya akibat berjauhan dengan suami kepada anak saya.bila dikenang2 semula rasanya memori indah dengan anak saya yang sulung macam takde.saya selalu rasa kesal dengan tindakan saya.
    bila mengandung anak kedua, saya berusaha mengawal emosi dan pada masa yang sama bertekad utk berubah mnjadi ibu yg baik supaya anak2 saya tidak jauh dengan saya.saya cuba menerima kehadiran anak yg sulung sbg permata hati.alhamdulillah keadaan anak kedua sgt berbeza dgn anak yg sulung,sgt mudah menjaganya.
    sekarang suami sudah berada di malaysia. Dia menangguhkan dahulu pengajiannya.bila ditanya kenapa,dia melihat ketiadaannya sebagai ketua keluarga telah mengakibatkan kesan yang tidak baik terhadap saya dan anak2.dan dia risau sekiranya masalah ini berlarutan akan menyebabkan perkara yang tak diingini berlaku.
    mmg benar berjauhan dengan suami amat menguji keadaan emosi isteri.tiada tempat nak bercerita dan berkongsi masalah,pada masa yg sama pula terpaksa menguruskan hal ehwal rumahtangga seorg diri adakalanya menyebabkan hati memberontak, akhirnya anak2 menjadi mangsa.
    saya tidak merasakan kak muna membuka keaiban diri,tp kisah kak muna itu sebagai pedoman dan pengajaran buat kita suami isteri.terima kasih kak.

  31. @ina

    salam.

    kerana itulah saya menulis entri ini kerana saya tahu ramai para isteri/ibu yang senasib dengan saya. mereka takut utk meluahkan kerana mereka merasakan mereka adalah ‘monster’. ketakutan itu menyebabkan mereka terus menerus rasa tertekan dan menyalahkan diri sendiri. Padahal ianya bukan salah mereka semata-mata. Ianya musti factorial dan blh diatasi apabila suami dan seluruh ahli keluarga memahami masalah sebenar (yg mana bukan berpunca dari isteri/ibu semata2).

    Stop blaming urself and dont afraid to change. Be positive!

  32. Assalamualaikum.
    You inspire me by your willingness to look at yourself and do self-check (muhasabah diri).
    But what is more impressive is your ability to accept your weaknesses and strive to better yourself as a parent.
    As a khalifah parent, there can be no ego in our interaction with our children. They are born in a state of fitra and are khalifah of Allah and have a right to be honored and respected, just as we have the same rights as well.
    May Allah ease you and your husband’s effort to bring your children up as khalifah.Ameen.

  33. as-salam ummusaif..
    saya sgt tertarik dgn kisah benar rumahtangga ummusaif ini.. saya juga mempunyai masalah kesefahaman dengan suami.. kami telah banyak kali berbincang dan memutuskan bahawa kami perlu lebih berkomunikasi antara satu sama lain.. namun, hasilnya agak mendukacitakan.. setiap perbincangan akan berakhir dengan perbalahan … saya buntu.. hendak berpisah, terkenangkan dua anak-anak yg perlukan ayah.. bagaimana nak memulih kembali hubungan yg hampir retak dan seperti kata ummusaif memperbaharui cinta jika suami spt tiada inisiatif?

    • salam puan..

      1. jgn sesekali give up dgn pasangan. sometimes it takes months n years for our husbands (vice versa) to change.

      tp kesabaran pun ada limit contohnya dlm kes penderaan mental/fizikal umpamanya.

      2. bersembanglah dari hati ke hati. maybe puan blh tulis emel pd suami sebagai contohnya. tanyakan kepadanya apakah harapannya dari puan dan seisi keluarga. adakah dia inginkan perubahan? basically kita nak tahu sejauh mana keikhlasan dia utk mendapatkan kebahagiaan keluarga.

      3. cuba list kan apakah masalah utama kalian?
      sibuk?
      campur tangan org ke3 atau keluarga?
      kewangan?
      kurang intimasi?
      masalah kesihatan?
      masalah anak2?

      cuba kenali masalah dan deal satu persatu.

      4. kemudian cuba elakkan terlalu kerap berbincang ttg masalah. cuba bykkan bincang atau sembang about happy issues.

      5. kalau nk diskas sekalipun, cuba jarak2kan dan cari masa yg sesuai utk kalian berdua.

      6. banyakkan lunch date berdua

      7. jgn sesekali ‘menolak’ suami (tuuttt)

      8. bykkan sentuhan dan belaian. jgn tunggu suami buat dulu. tak perlu malu utk bykkan sentuhan.

      9. doa dan solat selalu.

      Semoga Allah bersama kalian.

      Wallahu a’lam.

      • salam…
        jutaan terima kasih di atas nasihat dr..saya kagum kerana dalam kesibukan dr. masih meluangkan masa membantu pembaca blog dr…
        sejak saya dilanda masalah ni, sy banyak membaca blog abusaif dan ummusaif,..
        saya juga baca buku “aku terima nikahnya”.. ianya sgt membantu..terima kasih kpd anda berdua..
        saya juga nak cari buku yg ummusaif hadiahkan kepada abusaif (men are from mars, women are from venus)
        setelah sy ambil cadangan dr. utk list kan masalah sy dapati masalah utama adalah kurangnya intimasi..
        masalah utama adalah kerana hubungan intim kamiselalu berakhir dgn sy kecewa(hrp dr. faham)..
        ini menyebabkan sy menjadi dingin dan cuba elak dr berhubungan.. ia juga terus menjadikan kami renggang dan jarang berkomunikasi…
        tapi sy sayangkan keluarga sy…
        suami sy spt xde effort nak ubati masalah ini..mungkin dia malu..
        sy pernah belikan jamu kampung tp dia xnak makan sebab xde kelulusan KKM katanya…
        sebagai seorang dr., boleh x dr.muna cdgkan ubat apa yg boleh membantu menyelesaikan PE?

  34. Assalamualaikum wbt ummusaif… tahniah dan terima kasih krn berkongsi pengalaman dan saya dapati ia mmg sgt berkaitan dgn saya. saya hanya seorg guru bahasa inggeris di sebuah sekolah rendah.di sabah. sy sll merasakan tekanan untuk menyeimbangkan tugas sbg guru dan tugas kita sebgi ibu dan isteri dirumah.
    Sy juga sering memarahi anak sulung sy yg kini berumur 2 thn lebih apabila dia membuat sepah atau ragam di rumah. sy dapati dia menjauhi diri dr saya dan lbh rapat dgn suami sy yg mmg lansung tdk garang. kdg2 dia akan menangis sewaktu tidur malam dan ini menyebabkan sy berfikir adakah krn sy marahkan dia sms siang hari td…saya merasa bertambah tanggungjawab slps kelahiran puteri yang kedua yg kini berusia 6 bulan..Sya sll gagal menyeimbangkan tugas2 dirumah dan disekolah.selalu rumah tidak terurus dan kerja pula tidak sempurna terutama bila anak2 tidak sihat..sayu betul hati nak tinggalkn mrk di taska….saya merasa sgt tertekan dan sy rasa sy perlu meletakkan jawatan sbgi guru agar saya ada masa yg lbh byk bersama anak. Sy rasa saya patut bekerja dari rumah spt menjadi english private tutor dan dalam masa yang sama saya sering berdoa supaya Allah memberi petunjuk dan hidayah kpd saya untuk memilih jalan yg terbaik untuk sy . untuk makluman suami sy sgt bertolak ansur, dia juga membantu sy mengurus rumah walaupun hasil kerjanya tidak seberapa tp sy tahu dia tlh mencuba..Alhamdulillah slps menonton slot ustaz hasrizal ttg seminar di pulau pinang , sy terpanggil untuk melihat blog ustaz dan akhirnya membawa sy utk membaca blog dr sehinggalah sy membaca artikel ini..Alhamdulillah..ummu saif..kini saya sedari saya tidak keseorangan menghadapi ujian sebegini..malah mmg betul spt kata ummu saif kita harus bersedia untuk menerima ujian dan dugaan..saya harus lebih cekal , tabah, sabar dan meneruskan kehidupan didunia ini.. teruskan menulis coretan yg datang ikhlas dr hati kerana mana tahu ia mampu merubah banyak pandangan dan pemikiran atau gaya hidup org lain… anyway..ia seperti berdakwah juga kan..semuga Allah memberkati dan merahmati ummu saif sekeluarga dan mendapat keredhaan Allah di akhirat.. salam ukhuwah dr saya. terasa sgt rapat walaupun kita tidak saling mengenali..jazakallahukhairankathiro..

    • salam ukhuwwah,

      terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman juga..

      Apa yg penting diskusi dan luahan perasaan yg berterusan dgn pasangan. sokongan dan bantuan pasangan amat penting.
      kadang2 bukan faktor berkarier yg menjadi masalah utama, tetapi masalah tidak pandai membahagikan rasa tanggung jawab itu dgn suami yg menerukkan keadaan. Padahal, kedua suami isteri kena menjaga anak2 dan menguruskan rumah.

      Kadang2 stres kita bukan disebabkan oleh penat di tempat kerja atau di rumah sangat. tetapi lebih kepada ‘menunjuk perasaan’ kepada suami yg tidak begitu membantu dgn kerja2 rumah.

      So, yg penting ialah puan kena pasti apakah punca utama stres puan??
      adakah puan tidak suka kerja puan?
      adakah puan selalu penat apabila pulang kerja? ie tidak fit?
      adakah puan selalu sakit dan tidak sihat?
      adakah suami tidak membantu dgn kerja2 rumah?
      adakah suami selalu outstation?
      adakah anak yg baru berusia 2 tahun itu terlalu nakal? (budak 2 tahun sepatutnya tidak naughty, tetapi semata2 perlukan perhatian.)
      masalah kewangan?
      ada masalah lain?

      Maka, puan mesti kenal pasti punca utama masalah terdahulu. Dan selesaikan ia sebelum menyelesaikan masalah sampingan yg lain.

      Berhenti kerja ada pro dan kontranya. Harus fikir masak2. Tapi bekerja dari rumah juga satu cadangan yg baik. Cuma pastikan masa kerja tidak bercampur aduk dgn masa keluarga, itu aje.

      ok, all the best daripada kami.

      Wassalam.

  35. salam bicara tinta ummusaif.

    keikhlasan dlm penulisan tdk semestinya dipandang ikhlasan bg sesetgh phk. Namun apa nak difikir yg stgh. Lebih baik ada dpd tiada. Sekurang-kurangnya inilah coretan kehidupan realiti sestgh istri pndkwh. Rasanya tiada lg saya brjumpa coretan sebegini. Walaupun ianya coretan kehidupan, namun menjadi panduan ingatan buat para pendakwah sana yg senantiasa berdakwah. Buat para suami kpd keluarganya. Insyallah.

    Teruskan ya ummusaif dlm coretan stailomilo anda. He he. Terkenangkan wajah anak-anak selepas minum milo. Comot mukanya. Lps minum dgn wajah tersenyum simpul dan sengehnya… mereka berkata. Ergh. Alhamdulillah. Trima Kasih Bonda. Trima Kasih Ayah. Sejuk rasa hati nie ( sebagai bapa).

  36. salam kak, terima kasih kerana sharing coz saya kaunselor pelatih yang ingin melihat orang ramai mempercayai kaunseling berjaya untuk hidup kita.kisah hidup akak sangat menarik.saya juga banyk berpengalaman dengan melihat anak-anak pendakwah yang teruk terutamanya anak perempuan mnereka.mengapa hal ni berlaku???adakah kerana tiada ikhlas dalam berdakwah,hanya kerana nama dan wang semata-mata namun diselitkan dengan kebaikan agama kita yang mulia?atau mengadu domba bercerita akan hal-hal aib orang lain yang didapatinya ketika berdakwah?…moga kita bersama dengan lelaki yang tahu tanggungjawabnya sebagai suami, ayah, dan khalifah buat diri sendiri, isteri, anak, barulah orang lain…aamin

  37. terkesan membaca entri ni…bergenang air mata saya
    membuatkan saya terfikir kembali mengenai persediaan saya untuk berumahtangga
    adakah saya benar2 bersedia? bagaimana dengan pengurusan anak2 & keluarga?
    mampu atau tidak?
    saya tidak mahu kegagalan saya mengenal kesediaan diri sendiri punca atau faktor kegagalan saya mengurus keluarga terutama anak2
    seterusnya menjadi punca kerosakan perlakuan anak2 saya pd masa hadapan

    thanks kak muna sebab sudi berkongsi pengalaman
    dan saya harap selepas ini, kak muna & ust boleh terus berkongsi
    panduan untuk kami…sejujurnya saya benar2 jadi risau selepas mbaca entri ni
    risau akan kemampuan diri sendiri

    dan saya memuji keterbukaan kak muna & suami utk terus merujuk kpd pakar psikitiari
    sebab sebahagian besar drp kita selalunya akan avoid perkara tu
    mungkin dengan alasan isu keluarga, tidak perlu d beritahu kpd org lain…try n error atau sebagainya
    tapi merujuk kepada yang pakar adalah yang terbaik supaya kita tidak terus mengambil langkah atau jalan yang salah yang mungkin akan mburukkan lagi keadaan

    tahniah & semoga terus tabah =)

  38. salam ummu saif.

    i couldnt help crying reading this post.

    yr eldest son reminds me of me, some 12/13 years ago… being the eldest from both parents who are busy with their studies and houseman-ship (both are doctors), i was the one who ‘suffered’ most. daddy was away often, if not at the hospital, he’s in UK studying, and mummy would follow him leaving me with my grandma and grandpa. there’s 3 of us then.

    i grew up feeling resentful to both my parents. i had only memories of my 4 grandparents. i had to cope up with the responsibility of being the eldest of three siblings, act matured when i was just a child deep inside, face life without my parents, my grandpa was quite strict with us and i didnt like it a bit when he would raise his voice at me whenever i was naughty.

    oh, was i naughty… or, was that was just an act to gain attention..?

    time flew..and my parents came back, brought us ALL to UK with them.. i guess the complaint from my grandparents were already becoming unbearable?🙂 i had the best of time there! we were again one big happy family… we came back to malaysia 4 years later where both my parents were again busy busy with their job (both are now specialists), and i started to get naughty again… it was a rebellious act actually.

    i dont know how it all ended, but i do remember the heart to heart talk that i had with my parents (apparently i was the only rebellious one as i was the only one old enough to understand that my parents had ‘left’ us for their careers), the sessions we had with dr. fadzilah kamsah (so embarassing!)…

    that said, i think i understand yop’s feeling… i too, had the desire to just end my life. life had no meaning when yr parents ‘ignore’ u and treat u ‘without’ love… all i can say is that, time will heal this ‘resentment’. insyaAllah.

    i am 23 now, happily married and i love both my parents to bits. i pray everyday may Allah bless their careers and place them in jannah, amongst the soliheen. it took 3/4 years for me to understand my parents sacrifice.. the little thing i can do now is just to assure you that your son will learn to appreciate all that u are doing for him and his sibs one day… perhaps he’ll be the closest to you. like me and my mom🙂 we share even the littlest things, and i am proud that she has moulded me into who i am today, alhamdulillah.

    it feels good to have a mom who’s a professional in the healthcare industry and can teach you Bio excellently!

    so dearest ummu saif, despite whatever people say, never stop being an obgyn, it’s a noble career, dengan doa dan usaha…Allah akan membalas keikhlasan ummu saif dgn rahmat yg akan dicurahkannya keatas ummu saif and yr family, insyaAllah.

  39. Salam..

    Salam perkenalan dari saya, saya baru pertama kali membuka blog puan, tahniah saya ucapkan kerana puan dapat memberikan inspirasi kepada insan lain untuk berkongsi masalah dan memberi pandangan. ribuan terima kasih kerana sudi menjawab soalan mengenai “bayi saya jatuh”. saya doakan ummu saif dapat berkongsi rasa kepada kami agar kami mendapat motivasi dan semangat apabila membaca blog ummu saif….

  40. salam, ummu saif bertuah mdpt suami spt abusaif. bagaimana nasib para isteri yg suaminya tdk memberi kerjasama dlm mendidik anak2, malah nak berbincang pun susah. membaca bab kekeluargaan takde.. hanya isteri yg berusaha utk memperbaiki diri dan keluarga tapi tanpa kerjasama suami memang sukar …..

    • “Rumput di sebelah pagar memang sentiasa nampak lebih hijau…” Itu lah sifat kita.

      Saya juga begitu. I’ve had my bad times and good times. I would say, kami berdua hanya orang biasa yg sangat sama dengan pasangan2 suami isteri yg lain.

      Pengajaran:

      1. Jgn sesekali rasa diri kita lbh bagus dari pasangan kita. We never know how bad we are, esp suami selalunya jarang bercakap dan mereka lbh banyak memendam perasaan.

      2. tak kira sape yg sedar inginkan perubahan, orang yg sedar itu mesti banyak bersabar dgn pasangan mereka dan mulakan perubahan yg positif.

      3. jgn sesekali give up dgn pasangan, dan jgn bykkan berleter.

      4. suami/isteri yang bagus dan efektif akan memulakan diskusi yg efektif.

      5. it takes to tango.. kalau pasangan kita cemerlang, ianya disebabkan oleh kita sendiri. Dan sebaliknya..

      “Saya bertuah kerana mendapat suami saya dan begitu juga suami saya bertuah kerana mendapat saya..”

      Saya yakin puan mampu melakukan perubahan!

  41. saya, umur 28thn, isteri ke-3, ada anak perempuan umur 19 bulan, x pandai memandu… duduk berjauhan dengan suami sedangkan dua lagi madu saya duduk setaman… berdekatan dan hari-hari jumpa cik suami… positive thinking…. pengalaman… alah bisa, tegal biasa… allah ada, anak ada, kawan2 ada, mak ayah pun ada… sentiasalah berfikir untuk menambah baik keadaan…

  42. Sudah lima tahun catatan ini berlalu, meninggalkan pelbagai pelajaran untuk terus berusaha memperbaiki diri. Terjumpa apabila Google tentang Khalifah Method. Semoga Allah rahmati dan lindungi keluarga kami dan kalian juga, ameen.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s