Ahlan wa Sahlan Ahmad Muizzuddin


IMG_0123

Alhamdulillah…

Itulah semulia-mulia kalam yang selayaknya seorang hamba seperti saya ucapkan.

Ummu Saif sudah selamat bersalin. Penantian selama 9 bulan, penuh debaran dan cabaran, sempurna dengan begitu baik petang tadi.

PETANG YANG MENDEBARKAN

Saya tidak dapat berkejar ke hospital dengan segera kerana banyak urusan pengubahsuaian kerja yang perlu dibuat. Ada yang terpaksa dipinda tarikh, ada yang dibatalkan, dan tidak lupa, beberapa nama ustaz alternatif perlu dicari dan diperpanjangkan kepada penganjur program untuk membantu mereka mencari pengganti.

Pada jam 4 petang, Ummu Saif sudah dicadangkan agar ketuban dipecahkan. Tetapi kerana menanti ketibaan saya, Ummu Saif meminta agar ia ditangguhkan sekejap. Pengalaman-pengalaman lepas, apabila ketuban pecah, tempoh untuk bayi keluar amat segera.

Alhamdulillah saya berjaya tiba di hospital pada jam 4:30 petang.

Ketika tiba, Ummu Saif sedang berbincang dengan jururawat, bertanyakan kalau-kalau beliau sudah boleh dimasukkan ke bahagian stage 1 di dewan bersalin memandangkan ketika itu dilation sudah 3 sentimeter. Rupa-rupanya bahagian stage 1 itu sudah diubah suai untuk kegunaan pemerhatian untuk ibu-ibu yang mahu bersalin tetapi dijangkiti wabak selsema babi. Setakat 3 sentimeter, polisi belum membenarkan pesakit dipindahkan ke dewan bersalin.

Mungkin ketika itulah perasaan saya menjadi sangat terkilan.

Terkilan kerana saya tahu Ummu Saif sedang menanggung sakit yang amat sangat, terutamanya kesan induce yang diberi, dan saya pula sebagai suami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berdoa dan membantu pergerakan isteri seadanya.

Pada jam 5:30 petang, registra tiba.

Barulah pemeriksaan dapat dibuat dan didapati dilation sudah mencapai 5 sentimeter. Ketuban dipecahkan dan Ummu Saif segera ditolak ke dewan bersalin untuk proses melahirkan anak. Cemas itu tidak, tetapi saya tetap ada rasa gementar yang signifikan kerana saya tahu setiap proses melahirkan anak itu adalah suatu pertarungan antara hidup dan mati. Sesuatu yang sepatutnya turut suami alami di medan jihad. Tetapi…

Contraction semakin kerap dan kuat, walaupun tidak sekuat semasa melahirkan anak-anak kami sebelum ini. Ummu Saif memohon diberikan suntikan epidural, tetapi saya cuba yakinkan beliau bahawa tempoh bersalin sudah sangat hampir dan sedikit sahaja tambahan semangat diperlukan untuk mengharung kesakitan yang sedang ditanggung.

IMG_0121

Dalam suasana bilik bersalin yang sepi, Alhamdulillah beberapa orang doktor pakar daripada Jabatan Kecemasan datang. Semuanya kawan Ummu Saif belaka. Kehadiran mereka serba sedikit menceriakan bilik bersalin walaupun kelihatannya para midwife agak gementar atau tidak selesa dengan kehadiran doktor-doktor pakar ini. Mujurlah doktor pakar dari Jabatan Kecemasan, semua rock-rock belaka.

Santai dan sangat melegakan.

Saya memegang tangan Ummu Saif.

Mulut tidak lepas daripada membaca Ayaat al-Kursi, berselawat dan berdoa, memohon keringanan dari Allah.

KETIBAAN

Tepat jam 6:30, Ummu Saif sudah bersedia untuk meneran. Apabila tiba sahaja contraction yang cukup kuat, push pertama terus berjaya mengeluarkan kepala anak kami. Alhamdulillah. Apabila tiba contraction berikutnya, push yang kedua terus berjaya melepaskan bahu si bayi dan tepat jam 6:40 petang, Ahmad Muizzuddin selamat dilahirkan dengan sempurna.

Suatu kelegaan besar diiringi dengan rasa syukur.

IMG_0122

Tetapi proses bersalin belum berakhir.

Placenta atau uri perlu dikeluarkan dengan sempurna dan bahagian-bahagian yang terkoyak perlu dijahit semula. Di bahagian inilah selalunya saya berasa amat sedih melihat kesakitan yang dialami oleh isteri. Rasanya, mahu sahaja saya heret budak-budak muda yang gatal lupa Tuhan tengok apakah yang dinamakan proses bersalin itu.

Biar mereka ingat balik sakitnya ibu masing-masing melahirkan mereka dahulu.

Biar mereka ingat bahawa pergaulan-pergaulan bebas dan kegatalan jiwa itu jangan setakat memikirkan ‘sedap’ yang sekejap, tanpa memikirkan ‘sakit’ yang menanti.

Ahmad Muizzuddin dilahirkan dengan berat 2.85kg.

IMG_0125

Saya mengangkatnya dengan lafaz Bismillah, memberi salam, dan seterusnya melaungkan azan seadanya ke telinga cahaya mata yang baru tiba ke alam dunia itu. Biar kalimah yang membesar dan mengagungkan Allah menjadi santapan telinga pertama buatnya. Seruan menTauhidkan Allah, memuliakan Rasulullah, menjaga solat dan cemerlang dunia Akhirat.

Segala yang ada di dalam seruan azan itu sudah cukup untuk menyimpulkan segala impian, harapan dan pelan kehidupan buat setiap anak yang tiba ke alam dunia.

Sedikit tamar yang sudah dilumatkan, saya sapukan ke mulut Ahmad Muizzuddin untuk sunnah Tahniq, dan tamar itu memberikan tenaga segera untuk si anak bertahan memandangkan ibunya belum mempunyai tenaga untuk memberi susu badan secara serta merta.

Biar pun tempoh kehamilan Ahmad Muizzuddin penuh liku dan cabaran, proses melahirkannya amat segera dan mudah berbanding dengan Saiful Islam, Naurah dan Imad. Alhamdulillah. Saya yakin sebahagian daripada kemudahan itu adalah kurniaan Allah daripada sebegitu ramai teman di blog Saifulislam.Com dan Facebook yang mendoakan kami. Kerana itu, setengah jam selepas Ahmad Muizzuddin dilahirkan, saya poskan gambarnya ke Facebook melalui aplikasi di telefon sebagai tanda penghargaan kami kepada semua yang berkongsi nasihat, pandangan, doa dan keprihatinan… biar pun sebahagian besarnya tidak kami kenali.

TERPAKSA PULANG

Saya mahu tinggal di wad menemankan Ummu Saif yang masih mengalami pendarahan dengan jumlah ketulan darah yang agak banyak. Bimbang juga kalau-kalau beliau pitam sebelum sempat menekan butang memanggil jururawat. Beliau juga muntah-muntah akibat alahan kepada ubat penahan sakit Ponstan yang diberikan. Saya khuatir kerana semasa melahirkan Muhammad Saiful Islam, muntah-muntah Ummu Saif memberi tekanan kepada otot-otot di bahagian perut hingga ketika itu otot berkenaan terkoyak.

Tetapi suasana di wad tidak sesuai.

Syukur Alhamdulillah para jururawat telah memindahkan Ummu Saif daripada katil terhujung di tepi tingkap ke petak yang terhampir dengan stesyen mereka. Saya berasa senang hati untuk pulang ke rumah memandangkan anak-anak di rumah perlu diuruskan persekolahan mereka pagi esok.

Saya tiba di rumah pada jam 12:30 pagi.

Belum mampu berehat, kerana ada satu lagi tugasan yang perlu saya selesaikan. Membersihkan uri.

MENGURUSKAN URI

Tiada sebarang aturan dari segi hukum Syara’ tentang kaedah menguruskan uri. Malah kepercayaan-kepercayaan tentang hubungan di antara uri dengan bayi yang lahir serta tertib-tertib tertentu pada menguruskannya, semua itu adalah kepercayaan yang tidak mempunyai sebarang asas di dalam hukum Syara’.

Namun, sebagai sebahagian daripada anggota badan yang keluar bersama bayi yang lahir, ia wajarlah dilupuskan dengan cara yang baik, agar tidak menjadi busuk apatah lagi dimakan binatang buas seperti anjing. Disebabkan oleh malam yang sudah larut, saya membasuh uri tersebut dengan cuka, air asam jawa juga sedikit garam kasar sebagaimana membasuh ikan yang disiang. Tujuannya adalah untuk membersihkan darah yang banyak agar ia tidak busuk dan sempat untuk saya tanamkan ia ke tanah pagi esok Insya Allah.

Saya belum pasti di manakah uri itu patut ditanam, memandangkan halaman rumah kami sudah tidak bertanah. Esoklah saya fikirkan.

Cuma, membasuh uri ini memang mencabar. Saya yakin, sesiapa yang tidak tahan dengan bau darah akan dengan mudah pitam disebabkan oleh darah yang banyak, tali pusat yang berpintal-pintal dan bau darah yang kuat. Di sinilah mungkin satu peluang yang wajar dimanfaatkan oleh para suami untuk berbakti sebagai sebahagian daripada cara menghargai isteri dan anak.

Basuhlah uri itu.

IMG_0127

Insya Allah pengalaman membasuh dan menguruskannya akan menjadikan kita lebih menghargai isteri dan anak-anak.

Bukan kata Quran atau Hadith, sekadar secebis pengalaman peribadi.

Semoga Ummu Saif dan Ahmad Muizzuddin sihat-sihat dan boleh segera pulang ke rumah.

Malam ini saya tidur dengan Imaduddin yang perlu dipujuk kerana kehilangan status ADIK yang dinikmatinya selama dua setengah tahun ini.

Ala bucuk bucuk… tidur ya!

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG

32 thoughts on “Ahlan wa Sahlan Ahmad Muizzuddin

  1. salam ust…
    tahniah buat ust sekeluarga atas berita gembira ni…ahmad muizzuddin, cantik namanya.smg menjadi anak yg soleh.amiinn…

  2. Sebak & sebu hati saya yang usia perkahwinan hampir menjangkau 2 tahun tapi belum dikurniakan zuriat ni bila baca entry ustz yang sgt detail tentang proses melahirkan&kelahiran ni😥

    Apapun, tahniah ummusaif =D

  3. Alhamdulillah, dah anak ke 4 ustaz..
    Alhamdulillah, jua syukur selamat semuanya..
    Tahniah Ustaz dan kak muna..
    teringin bertemu kak muna pula sesudah bertemu ustaz dalam ceramahnya dulu..
    terharu seketika, walaupun saya juga sudah pengalaman lahirkan 3 anak..ya, setiap anak berbeza kan? cuma yg betul2 tersentuh entry ini ialah, semangat ustaz sama macam suami sy untuk tidak membenarkan jarum & ubat epidural itu menyentuh tulang belakang ini..walaupun, proses makin mudah apabila semakin ramai anak, namun perlu ingat tenaga isteri juga sudah tidak sama seperti awal anak…Terima kasih buat suami kerana semangat mu penguatku…

  4. Assalamualaikum,
    Tahniah untuk Dr.dan Ustaz, syukur akhirnya bersalin normal..akak pun sama kalau boleh tak nak guna tingkap,healing process lambat. Akak due anak ke 6 in 3 wks time,bila baca entry ni bertambah semangat bila fikirkan new baby is coming,lagi tak sabar bila tgk photo A.Muizuddin yang chubby tu, tapi bila fikirkan contraction, kecut jugak perut. Untuk Dr Muna,rest well.

  5. Alhamdulillah.. tahniah buat Ummu Saif sekeluarga. Selamat berehat dan semoga sihat-sihat lepas ni..

  6. salam ustaz…..tahniah.Kagum saya dengan keluarga ini.Moga saya dapat mencontohi keluagra ustaz nanti,insya allah.Baby sangat comel! semoga jd anak soleh!

  7. Salam,
    Alhamdulillah..Selamat jugak baby comel ni jenguk dunia…

    semoga menjadi manusia berguna, baik, soleh, dan mampu mendoakan kedua ibu bapanya kelak..amin…

  8. Membaca entri ini bergenang airmata. Terimbas kembali saat melahirkan 4 orang cahaya mata 23 tahun y lalu. Betapa hebatnya perjuangan melahirkan zuriat yg patut dikongsikan oleh semua insan. Tidak semua orang berpeluang mengharunginya dengan kelazatan iman kerana kejahilan dan kejahatan diri.

    Tahniah dan terima kasih abu saif atas pkongsian ini :

    Doa utk abu saif ” Moga-moga Allah memberkati m. muizzudin dan ayahnya pula mensyukuri Tuhan Pemberi dan akan dikurniakan ketaatannya apabila muiz besar nanti.”

    Salam utk ummu saif ye..
    http://mizjana.blogspot.com/

  9. Syukru ‘ala ni’qmatillah. Kelahiran makhluk Allah dimuka bumi ini adalah anugerah yg tak ternilai. Segala perit dan kesakitan yg dilalui semasa melahirkan memberikan satu “impak” yg mendalam terhadap diri,- Tanda Kebesaran & Keagungan Allah SWT.(Kelahiran Ahmad Muizzudin mengimbau kembali nostalgia sya melahirkan ank ke 4 pada 10/10/2004. ALHAMDULILLAH)Assalamualaikum w.r.t.

  10. Salam Ummu Saif dan Ustaz…

    Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT serta Tahniah diatas kelahiran Ahmad Muizzuddin…

    Semoga menjadi anak yang soleh, berjaya dunia dan akhirat…Ameen

    Salam Tahniah dr Preston,Lancashire UK

  11. Alhamdulillah. tahniah buat Kak Muna dan Ustaz. Moga trus menjadi ummi & abi yang tabah & sabar membesarkan mujahid mujahidah Islam =)

    Selamat datang ke dunia mujahid kecil Ahmad Muizzuddin! moga membesar menjadi insan yang bertaqwa

  12. Tersenyum baca countdown baby kat sbelah.

    “This week the baby has almost no room to move”

    Muizzuddin dah kuar lebih awal rupenye.=)

  13. salam abu/ummu saif..
    TAHNIAH atas kelahiran AHMAD MUIZUDDIN.. semuga diberi kebahagiaan berpanjangan melalui 4 org cahayamata yg dikurniakan Allah.. semuga mereka juga akan menjadi PENGGERAK utk ISLAM di masa akan datang.. insyaallah…

  14. Tahniah utk keluarga ustaz atas kleahiran Ahmad Muizuddin dan pertambahan ahli baru keluarga.Semoga semakin murah rezeki dan bertambah-tambah berkah.Amin….^^

  15. alhamdulillah tahniah buat abu n ummu saif atas kelahiran mujahid kecil..moga menjadi anak yg soleh n berbakti buat ibubapa dan islam tercinta..

    sedikit nak share pengalaman saya bersalin..alhamdulillah kelahiran ketiga saya lebih bersedia di bilik bersalin…saya berjaya mengaplikasikan pain management (yang saya pelajari di internet) apabila saya dilihat tenang melalui pengamatan suami…cuma sewaktu proses meneran saya sudah hilang fokus kerana panik akibat kelewatan doktor…

    apapun setelah itu saya meyakini bahawa manusia sememangnya boleh mengawal sakit apabila mereka bermotivasi dan bersikap positif terhadap sesuatu perkara yang mereka takuti dan geruni..

    wallahu’alam

  16. tahniah atas kelahiran cahayamata yang ke berapa ya??
    Teringat kembali pengalaman melahirkan anak, 5 lelaki seorang perempuan, semuanya berbeza dugaan yang diberian Allah.

  17. alhamdulillah dan MasyaAllah atas kebesaranNya

    kurma tu seakan menjawab pernyataan ummusaif yang susu ibu hanya keluar selepas 48 jam. syukran.

    saya ada 2 soalan:-

    1) adakah boleh sebaik sahaja baby keluar, suami boleh azankan? atau kena tunggu nurse bersihkan, balut, pergi wad, etc baru boleh azan? – untuk hospital kerajaan

    2) pro and con baby ditinggalkan dengan ibu yang baru bersalin (lebih2 lagi baru pertama kali)? tidakkah ini merupakan keadaan yang sukar untuk ibu dan membahayakan baby?

    syukran

    • salam.

      biasanya selepas bersalin, nurse akan bersihkan sedikit baby, plus do some suction, wrap baby dan kemudiannya timbang.

      Selepas bby dah kena wrap dan timbang, mereka akan bagi pada mak sekejap. saya tak pasti dgn hospital kerajaan sama ada diaorang benarkan bapa masuk atau tidak. Tapi setakat ini suami saya azankan anak selepas bby dah siap timbang (takde le darah terkena pada baju ayah pula). Tapi sebenarnya tak kisah bila, yg penting as soon as suami dapat pegang baby.

      biasanya lepas lahir, baby akan tidur untuk 1-2 jam. Masa tu pun ibu akan tidur kepenatan. Kalau bersalin normal, inshaAllah takde masalah utk baby tinggal bersama ibu. Nurses ramai dan akan tolong monitor. Nurse juga akan mandikan bby semasa di hospital.
      Bila ibu penat sgt atau ada komplikasi, nurse akan ambil dan jaga baby di nursery.

      apa yg puan blh sebagai persediaan, semasa follow up bulanan, puan tanya semua proses ini kepada doktor eg, blh ke suami masuk ke labour room dsbnya.
      Kalau tak puas hati, ada byk alternatif lain utk bersalin. Blh cari mana2 pusat rawatan utk ibu dan anak.

  18. tahniah buat Abu dan Ummu saif..
    bertambah khalifah ALLAH dari pasangan yg hebat.
    semoga ALLAH memberkati keluarga pejuang AgamaNYA.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s